Ahmad Ismail


Segamat: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis heroin, syabu dan ganja yang dianggotai empat sahabat dalam serbuan sekitar ladang sawit Felda Pemanis dan Jalan Tungku Tiga Segamat, di sini, semalam.

Serbuan dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat hasil risikan yang dijalankan.

Siasatan mendapati empat suspek itu adalah rakan karib yang bergiat aktif sebagai rantaian 'tokan' kecilan sejak beberapa bulan lalu dengan menumpukan kepada pasaran tempatan termasuk kawasan Felda.

Difahamkan, kumpulan ini hanya menjual dadah dengan berkonsepkan pemasaran pelbagai peringkat (MLM), dan menjual kepada penagih yang hanya dikenali.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, dalam serbuan pertama dan kedua di sekitar Jalan Tungku Tiga, dekat sini kira-kira 3 petang membawa kepada tangkapan dua lelaki masing-masing berusia 31 dan 46 tahun.

"Kedua-dua suspek ditahan selepas polis menemui heroin dalam plastik lut sinar seberat 36.5 gram (g) bernilai RM1,270 dan satu paket dadah heroin seberat 18.50 gram (g) bernilai RM640.

"Hasil soal siasat ke atas kedua-dua suspek membawa kepada satu lagi serbuan di sekitar Felda Pemanis kira-kira jam 12.30 tengah malam yang mana polis menahan dua lelaki berusia 40 tahun dan 38 tahun.

"Hasil pemeriksaan badan ke atas suspek berusia 38 tahun menemui heroin seberat 16.5 gram (g), syabu seberat 2.00 gram (g) dan peralatan kaca menghisap dadah anggaran kesemuanya bernilai RM770.

"Pemeriksaan terhadap suspek berusia 40 tahun turut memiliki heroin seberat 52.50 gram (g), syabu seberat 6.30 gram (g), ketulan ganja mampat seberat 6.50 gram (g) dan pil Erimin 5 90 biji seberat 24.0 gram (g) kesemuanya bernilai RM4,135," katanya pada sidang media di IPD Segamat, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Ng Swie Chait.

Katanya, selain dadah, polis turut menyita motosikal Yamaha 135 LC dan Honda EX5 kesemuanya bernilai RM9,000, wang tunai RM500 dan menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM16,315.

Dalam pada itu, Ahmad Zamry berkata, suspek turut melakukan pendekatan pemasaran dengan hanya menjual kepada penagih dikenali bagi mengelak dikesan polis yang menyamar, namun 'kantoi' (tumpas).

"Semakan turut mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah serta dadah.

"Mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 21 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B akta sama," katanya.

PELBAGAI dadah dirampas hasil penahanan empat lelaki disekitar Felda Pemanis dan Jalan Tungku Tiga di sini, semalam. FOTO Ahmad Ismail.
PELBAGAI dadah dirampas hasil penahanan empat lelaki disekitar Felda Pemanis dan Jalan Tungku Tiga di sini, semalam. FOTO Ahmad Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 11:36 PM