Shamsul Munir Safini


HEROIN hijau pandan tanda kawasan pengedaran. Itu modus operandi dua lelaki berusia 29 dan 30 tahun yang diberkas polis dalam tiga serbuan berasingan di Simpang Ampat, Nibong Tebal, Rabu lalu.

Dalam serbuan bermula jam 9.30 hingga 11 malam, polis merampas 5,647 gram heroin termasuk yang diwarnakan hijau melambangkan kawasan pengedarannya.

Difahamkan, setiap sindiket menggunakan warna tersendiri bagi menghasilkan dadah dan suspek diberkas menggunakan hijau pandan.

Heroin itu dihasilkan dengan pelbagai warna untuk mengelak sindiket lain cuba masuk dan menjual dadah di kawasan dikawal sindiket tertentu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran berkata, suspek berusia 29 tahun yang juga adik tiri kepada suspek kedua diberkas ketika sedang memunggah sejumlah heroin yang sudah siap dibungkus di belakang sebuah rumah di Taman Merak.

“Susulan pemeriksaan, polis menemui 5,422 gram heroin di dalam lori sebelum menahan suspek untuk tindakan lanjut.

Narenasagaran (kanan) menunjukkan barang rampasan memproses dadah. Antara dadah hijau pandan berjaya dirampas (Gambar kecil). FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Narenasagaran (kanan) menunjukkan barang rampasan memproses dadah. Antara dadah hijau pandan berjaya dirampas (Gambar kecil). FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal

“Hasil maklukmat daripada suspek, polis kemudian menyerbu sebuah premis perniagaan di Taman Merak Jaya sebelum menemui makmal heroin,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, hari ini.

Beliau berkata, suspek menggunakan tingkat atas premis itu sebagai makmal menghasilkan heroin susulan penemuan 7,725 gram kafein dan beberapa bahan kimia lain manakala tingkat bawah dijadikan kedai alat tulis.

“Suspek sangat licik kerana mengaburi pihak berkuasa dengan menjadikan kedai alat tulis sebagai makmal dadah,” katanya.

Menurutnya, polis kemudian merampas peralatan menghasilkan dadah dan bahan kimia di premis berkenaan.

Katanya, polis turut menyerbu sebuah rumah di Bandar Tasik Mutiara dipercayai milik suspek kedua dan menahan lelaki berusia 30 tahun.

Menurutnya, polis yang melakukan pemeriksaan menjumpai 255 gram heroin.

Narenasagaran berkata, suspek dipercayai sudah beroperasi selama tujuh bulan dan kedua-dua mereka direman sehingga 27 Februari depan untuk siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 6:57 PM