ANTARA barangan pemprosesan dadah yang dirampas. FOTO ihsan polis
ANTARA barangan pemprosesan dadah yang dirampas. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis membongkar makmal dadah dalam Op Bersepadu bermula kelmarin hingga semalam membabitkan rampasan serta sitaan bernilai RM438,036.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd Latif berkata, bertindak atas maklumat, satu operasi terancang antara JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul berjaya membongkar sindiket memproses dan mengedar dadah yang menjadikan Lembah Klang sebagai kawasan pengedaran.

Menurutnya, dalam serbuan pertama di sebuah pasar raya di Metro Prima, Taman Kepong, jam 2 petang kelmarin, polis menahan dalang utama sindiket terdiri daripada dua lelaki berusia 46 dan 53 tahun.

"Kedua-dua suspek berperanan sebagai penghantar dan pemproses dadah yang mana ketika serbuan, salah seorang suspek sedang menolak troli berisi dadah yang disyaki heroin seberat 1,368 gram bernilai RM 47,880.

"Pemeriksaan ke atas seorang lagi suspek menjumpai pil ecstasy sebanyak tiga biji (RM45)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sahar berkata, pemeriksaan ke atas Mercedes Benz suspek menemui 91 pil ecstasy bernilai RM1,365 yang disembunyikan di dalam pembesar suara di bahagian but.

"Turut dirampas wang tunai berjumlah RM201 sementara ujian saringan awal turut mendapati seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine dan AMP serta mempunyai 10 rekod jenayah lampau.

"Pada jam 12.10 tengah malam, polis menyerbu sebuah rumah dua tingkat di Jalan Permatang Maju 2/1 Aman, Permatang Maju, Setiawan, Perak.

"Dalam serbuan itu, polis berjaya membongkar satu makmal yang digunakan oleh sindiket untuk memproses dadah disyaki jenis heroin," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati rumah itu disewa dengan harga RM600 sebulan sejak enam bulan lalu.

"Dalam serbuan itu polis merampas dadah MDMA seberat 1,271 gram, heroin (45 gram), serbuk putih disyaki dadah (8,829 gram), cecair kimia dan peralatan memproses dadah.

"Suspek direman seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan," katanya.

Katanya, dengan kejayaan tangkapan itu, polis berjaya menumpaskan kegiatan memproses dan mengedar dadah yang bergiat aktif kira-kira enam bulan lalu yang menyasarkan kawasan Lembah Klang dan Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 5:10 PM