Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis merampas dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM79,116 menerusi enam serbuan di sekitar daerah Timur Laut di sini, Rabu lalu.

Susulan serbuan itu, polis menahan empat lelaki berusia antara 21 hingga 31 tahun bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek pertama ditahan di kawasan parkir pasar raya di Sungai Dua, di sini pada 12 tengah malam kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

Penahanan itu membawa kepada serbuan kedua yang dilakukan di rumah di kawasan Sungai Dua dan menahan seorang lagi suspek lelaki.

"Pada serbuan itu, polis menemukan tiga paket lutsinar berisi dadah jenis heroin kira-kira 980 gram di dalam rumah berkenaan.

"Siasatan lanjut terhadap kedua-dua suspek membawa kepada penahanan suspek ketiga menerusi serbuan yang dijalankan di rumah di Paya Terubong, Air Itam.

"Polis menemukan sembilan paket plastik lutsinar dadah jenis heroin seberat 3.3 kilogram dan 11 paket plastik lutsinar berisi hablur dadah disyaki syabu seberat 291 gram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Timur Laut, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, serbuan keempat pula dijalankan di kawasan parkir sebuah flat di Paya Terubong, di sini, dan menahan suspek lelaki sekaligus membongkar sebuah stor di kawasan berkenaan.

Katanya, polis menemukan dadah disyaki heroin masing-masing seberat 117 gram dan 215 gram serta 179 gram syabu.

"Susulan itu polis menahan seorang lagi suspek lelaki di kawasan Georgetown bagi membantu siasatan.

"Keseluruhan dadah bernilai RM79,116 manakala empat kenderaan dan barangan kemas yang dirampas pula bernilai RM65,445," katanya lagi.

Soffian berkata, ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah manakala tiga daripada mereka juga mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua rumah berkenaan disewa oleh suspek pertama sejak tiga bulan lalu.

"Didapati aktiviti pengedaran dadah itu adalah bagi pasaran tempatan dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 25,557 penangih dadah," katanya lagi.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 9 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

SOFFIAN (dua kiri) menunjukkan rampasan dadah ketika sidang media. FOTO Mikail Ong
SOFFIAN (dua kiri) menunjukkan rampasan dadah ketika sidang media. FOTO Mikail Ong

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 3:19 PM