AHMAD Samsuri Mokhtar. FOTO Imran Makhzan
AHMAD Samsuri Mokhtar. FOTO Imran Makhzan
Helmy Abd Rahman


KERAJAAN negeri Terengganu akan menutup kira-kira separuh daripada lebih 100 anak syarikatnya yang tidak aktif, sekali gus menjangkakan mampu menjimatkan perbelanjaan berjumlah sekurang-kurangnya ratusan ribu ringgit setahun.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu susulan audit yang dilakukan sebelum ini yang mendapati ada antara syarikat terbabit tidak langsung menjalankan perniagaan.

“Sebahagian daripada syarikat ini tidak menjalankan apa-apa perniagaan tetapi kita tidak tahu mengapa masih lagi beroperasi.

“Ada juga menjalankan perniagaan bukan teras contohnya ‘merchandise’, sedangkan kita tak perlu bersaing pun dengan syarikat di luar sana dan boleh dapat lebih murah kalau ambil dari China contohnya.

“Kita terpaksa tanggung kos pentadbiran yang jumlahnya mungkin ratusan ribu ringgit setahun sebab perlu bayar kepada pentadbir dan buat bayaran audit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Makan Malam Ummah di Kuala Terengganu, malam tadi.

Ahmad Samsuri berkata, banyak juga syarikat yang didapati mempunyai fungsi bertindih dan sehubungan itu, kerajaan negeri akan mengambil langkah membuat penggabungan.

“Kita akan tumpukan kepada syarikat yang lebih berdaya maju dalam perniagaan dan wang dijimatkan hasil penutupan syarikat ini itu boleh disalurkan kepada perkara yang lebih bermanfaat,” katanya.

“Kita juga akan buat penggabungan selepas memperkemaskan mana-mana syarikat yang tidak diperlukan, mengikut bidang perniagaan sedia ada antaranya perhotelan, perladangan, minyak dan gas serta pembinaan.

“Dengan menggabungkan syarikat milik kerajaan negeri, semua aset yang kita milik boleh digunakan bersama dan syarikat akan jadi lebih besar serta kukuh sekali gus lebih berdaya saing di luar sana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 11:50 AM