Badlisham (empat dari kiri) pada  forum sempena Future Travel Experience Asia 2014, kelmarin.
Badlisham (empat dari kiri) pada forum sempena Future Travel Experience Asia 2014, kelmarin.

Sepang: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) tidak menolak sebarang cadangan untuk menjalankan audit terhadap pengendali lapangan terbang itu, namun perlu mendapat persetujuan daripada lembaga pengarah.

Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali berkata, pengurusan MAHB perlu mengemukakan penjelasan terlebih dahulu kepada lembaga pengarah sebelum boleh memutuskan untuk proses audit yang ingin dijalankan.

“Kami perlu tahu bahagian mana yang mahu diaudit memandangkan selama ini kami turut menjalankan audit yang dikendalikan firma luar.

“Ini kerana ia mungkin membabitkan bahagian yang sudah dinilai dan kami perlu serahkan laporan yang diperlukan tanpa perlu melalui proses audit,” katanya selepas forum sempena Future Travel Experience Asia 2014 di sini, kelmarin.

Menurutnya, selain audit bahagian kewangan, MAHB turut bertanggungjawab untuk menyerahkan laporan kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Kementerian Pengangkutan selain pembentangan kepada lembaga pengarah.

“Kami perlu mengetahui apa tujuan untuk menjalankan audit ini kerana jika ia berkaitan prosedur biasa, kami akan serahkan laporan sedia ada,” katanya.

Baru-baru ini Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa Jabatan Audit Negara membuat audit terhadap Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) bagi mencari kelemahan susulan isu peningkatan kos pembinaan dan kelewatan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, audit itu bagi membolehkan satu laporan dapat dikeluarkan sebagai bukti terhadap isu yang dibangkitkan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 5:02 AM