ANGGOTA penguat kusa menyita sebuah pondok yang dibina di hutan simpan yang diceroboh di Relai, Gua Musang.
ANGGOTA penguat kusa menyita sebuah pondok yang dibina di hutan simpan yang diceroboh di Relai, Gua Musang.
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Gua Musang: Bukan hanya orang Kelantan ditipu malah penduduk negeri lain turut diperdaya membeli tanah hutan yang dijual secara haram oleh sindiket melakukan pencerobohan hutan simpan sekitar negeri ini.

Sindiket terbabit dipercayai mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit walaupun tanah dijual pada harga lebih murah daripada harga pasaran iaitu kira-kira RM15,000 bagi 0.4 hektar.

Perkara itu terbongkar apabila beberapa mangsa yang juga pembeli tanah itu tampil membuat laporan polis selepas mendapati tanah dibeli mereka sebenarnya milik Kerajaan Pusat dan negeri.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Zahari Ibrahim berkata, seorang mangsa kerugian lebih RM100,000 apabila membeli tanah seluas 16.8 hektar daripada sindiket itu, tahun lalu.

Katanya, mangsa mengetahui dirinya ditipu apabila membuat pemeriksaan ke atas tanah terbabit yang tidak diberi geran sah.

“Dia membuat pemeriksaan disebabkan tidak layak menerima geran dan mendapati tanah yang dibelinya adalah hak Yayasan Islam Kelantan (YIK).

“Mangsa kemudian membuat laporan polis pada Februari tahun lalu selepas mendapati dia sebenarnya ditipu.

“Kita percaya lebih 10 orang lagi yang menjadi mangsa apabila membeli tanah yang tiada geran daripada penceroboh rizab hutan.

“Sindiket mengaut keuntungan yang banyak dipercayai ratusan ribu ringgit kerana tidak mengeluarkan modal besar, sebaliknya hanya membersihkan kawasan sebelum dijual kepada pembeli,” katanya.

Menurutnya lagi, mangsa memaklumkan diberitahu tanah berkenaan tidak mempunyai geran, namun ia boleh diuruskan selepas proses pembelian selesai.

Susulan itu, operasi bersepadu diadakan kelmarin bersama 100 kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pejabat Tanah dan Galian di tiga lokasi di Hutan Simpan Relai, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 8:13 AM