PENYERANG KL City, Paulo Josue. FOTO Agensi
PENYERANG KL City, Paulo Josue. FOTO Agensi
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketua pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City), Paulo Josue berharap janji pihak pengurusan untuk menyelesaikan tunggakan gaji dua bulan benar-benar ditepati selepas menunggu hampir tujuh bulan beraksi tanpa sebarang wang.

Jelas Josue, dia mengharapkan janji kali ini tidak 'dicapati' lagi selepas sebelum ini perkara sama turut berlaku.

"Sebelum ini pun mereka cakap benda sama tunggu minggu depan...tunggu bulan depan dan tunggu, tunggu dan terus tunggu.

"Tapi saya harap kali ini benar-benar mereka tepati janji itu agar memberi kelegaan buat pasukan. Rata-rata kami tidak dibayar gaji dalam tempoh agak Panjang.

"Kami seolah bekerja tanpa gaji dan ia agak menyukarkan kami untuk meneruskan kehidupan. Kami juga ada tanggungan dan ia memerlukan duit," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Semalam, akhbar ini melaporkan sekurang-kurangnya RM1 juta akan disalurkan segera oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam membantu dan meringankan beban pemain KL City yang tidak menerima gaji sejak awal musim ini.

Perkembangan terbaharu itu dikongsikan Pengarah Kuala Lumpur United, Syed Yazid Syed Omar yang mengakui jumlah bantuan itu akan dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya tunggakan gaji selama dua bulan dihadapi barisan pemain KL City.

Ditanya kepada Josue mengenai 'mood' pasukan menjelang aksi Liga Super menentang Selangor FC esok, pemain naturalisasi negara itu akui rakan sepasukannya masih bersemangat untuk memburu keputusan positif ke atas Red Giants nanti.

"Agak sukar untuk saya memberi kenyataan bagi pihak rakan-rakan kerana masing-masing ada masalah tersendiri.

"Tetapi saya boleh katakana, sepanjang latihan minggu ini pemain-pemain masih turun berlatih dan memberi sepenuh komitmen dalam latihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 3:07 PM