FIZI
FIZI
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Pengacara, Fizie terpaksa berdepan kerugian ratusan ribu ringgit apabila dua syarikat miliknya tidak dapat menjana pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Fizie berkata, sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa kerajaan tahun lalu, dia kehilangan banyak projek hingga terpaksa menutup perniagaannya.

"Salah satu sebab saya mengambil keputusan untuk tinggalkan dunia penyiaran radio Julai lalu kerana ingin memberi fokus kepada bisnes pembinaan dan pengurusan acara yang terjejas teruk.

"Saya terpaksa menutup dua syarikat yang diusahakan lebih 14 tahun disebabkan tiada projek akibat pandemik Covid-19. Seramai 40 pekerja juga terpaksa diberhentikan.

"Saya akui berdepan kerugian ratusan ribu ringgit disebabkan wabak berbahaya ini. Saya anggap apa yang berlaku adalah dugaan untuk diri saya," katanya ketika ditemui pada program Terima Kasih Cikgu anjuran Didik TV di Sunway, Selangor, hari ini.

Menurut Fizie juga bekas penyampai radio Hot FM, dia enggan menoleh ke belakang sebaliknya ingin terus bangkit dan melakukan perniagaan baru untuk meneruskan kehidupan.

"Insha-Allah tahun depan saya bakal membuka perniagaan yang menyediakan perkhidmatan cuci motorsikal menggunakan mesin automatik di Meru, Klang, Selangor.

"Jika dilihat tidak banyak kedai cuci kenderaan yang mengambil upah cuci motorsikal sebab prosesnya mengambil masa yang lama. Jadi saya mencipta satu mesin yang boleh menjimatkan masa. Satu motosikal boleh disiap lebih kurang lima minit sahaja.

"Selain itu, saya juga kini fokus dengan perniagaan cat kereta yang diusahakan di Puchong. Alhamdulillah saya masih boleh teruskan kehidupan dengan perniagaan kecl ini selain menjadi pengacara di Didik TV," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 2:46 PM