Audrey Dermawan


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah syarikat susulan siasatan salah guna kuasa dan pengurusan kewangan ke atas JKP Sdn Bhd, syarikat penuh milik Kementerian Kewangan.

Sumber berkata, pengarah syarikat berusia 50 tahun berkenaan menyerah diri ke pejabat SPRM Pulau Pinang jam 3 petang tadi.

Katanya, pengarah berkenaan ditahan kerana didakwa berkomplot dengan seorang individu di JKP untuk melantik firma kejuruteraannya sebagai konsultan kepada beberapa projek syarikat itu dari tahun 2005 hingga 2016.

Menurutnya, perkara itu berlaku walaupun individu berkenaan mempunyai kepentingan dengan syarikat berkenaan.

JKP juga adalah agensi pelaksana bagi Majlis Pembangunan Bumiputera di Pulau Pinang selain aktif memajukan projek perumahan dan unit komersial bagi Bumiputera.

"Hasil siasatan kami juga menunjukkan bahawa transaksi bernilai hampir RM3 juta dilakukan sepanjang tempoh itu.

"Siasatan juga sedang dilakukan bagi menyiasat setakat mana pembabitan pengarah syarikat dan individu di JKP itu dan jika ada jumlah wang lain terbabit," katanya ketika dihubungi.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Abdul Aziz Aban ketika dihubungi mengesahkan penahanan pengarah syarikat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 8:24 PM