Audrey Dermawan

TIGA anggota EXCO Pulau Pinang negeri hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang hari ini, dipercayai berkait siasatan projek terowong dasar laut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Jagdeep Singh Deo, yang tiba sekitar jam 9.30 pagi, meninggalkan premis itu pada jam 12.01 tengah hari tanpa memberi sebarang kenyataan kepada pihak media yang menunggu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng pula memasuki premis pada jam 11.23 pagi, manakala Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dilihat tiba pada jam 2.20 petang.

Ketika ditemui media, Eng yang keluar dari premis itu pada jam 3.20 petang, berkata dia ditanya mengenai latar belakangnya serta bagi mengesahkan mengenai projek tiga jalan dan terowong dasar laut.

CHONG Eng ketika keluar dari bangunan SPRM. FOTO DANIAL SAAD
CHONG Eng ketika keluar dari bangunan SPRM. FOTO DANIAL SAAD

"Semuanya berjalan lancar," katanya, menjelaskan pertemuannya mengambil sedikit masa kerana diuruskan individu muda yang diberikan tugasan berkenaan pada saat akhir, kerana individu yang sepatutnya menguruskannya, diberikan tugasan lain.

Ditanya sama ada beliau akan dipanggil semula, Eng memaklumkan tidak tahu dan hanya dimaklumkan urusannya untuk hari ini sudah selesai.

Terdahulu, beberapa pegawai SPRM dilihat tiba di Bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) pada jam 9.55 pagi tadi bagi meneruskan siasatan suruhanjaya itu berhubung projek terowong dasar laut.

Bagaimanapun, wartawan yang menunggu di tingkat 53 sejak jam 8.30 pagi diarah meninggalkan kawasan itu dan turun ke tingkat bawah oleh pengawal keselamatan.

Jumaat lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, memaklumkan mereka tidak pernah menutup siasatan projek bernilai RM6.3 bilion itu, sebaliknya lima kertas siasatan dibuka, selain siasatan juga berada di peringkat akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 6:09 PM