ALIAS memasang kerusi daripada bahan terbuang selepas perasmian Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan KPM 'Kita Recycle' peringkat negeri. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ALIAS memasang kerusi daripada bahan terbuang selepas perasmian Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan KPM 'Kita Recycle' peringkat negeri. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


DUA pusat pemindahan khusus untuk mangsa banjir yang dibina di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi dan SK Rantau Panjang 2, Rantau Panjang bakal beroperasi untuk digunakan mangsa banjir dalam masa terdekat.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, dua model pusat pemindahan khas di sekolah terbabit menyediakan beberapa kemudahan khusus kepada mangsa banjir termasuk bilik mandi, tandas dan tempat memasak.

Katanya, dua model pusat pemindahan khas itu mampu menampung sehingga 3,000 mangsa banjir di kawasan sekitar.

"Kemudahan di dua pusat pemindahan itu mula dibina sejak tahun lalu namun belum siap sepenuhnya dan dijangka boleh digunakan dalam masa terdekat oleh mangsa banjir pada tahun ini.

"Dua model pusat pemindahan itu boleh dianggap perintis kerana kita berhasrat untuk turut mewujudkannya di negeri lain namun ia bergantung kepada peruntukan.

"Dengan model pusat pemindahan itu akan memberi sedikit keselesaan kepada mangsa banjir berbanding sebelum ini yang terpaksa menggunakan tandas murid untuk membersihkan diri," katanya selepas merasmikan Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) KPM 'Kita Recycle' peringkat negeri di SK Kebakat, Tumpat hari ini.

Program bermula pada 7 hingga 11 November itu adalah mengenai pembabitan masyarakat setempat dengan warga sekolah bagi menambah baik fizikal sekolah.

Menurutnya, persediaan menghadapi banjir sudah dibuat dan 200 pusat pemindahan di sekolah di Kelantan sudah bersedia untuk dibuka pada bila-bila masa sebaik menerima arahan.

Keterangan gambar

ALIAS merasmikan Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) KPM 'Kita Recycle' peringkat negeri di SK Kebakat, Tumpat, hari ini

Foto

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 8:55 PM