Jalan Kasban yang menghubungkan Pengkalan Kubor ke Rantau Panjang ditutup untuk kenderaan ringan. Gambar Ihsan Jabatan Kerja Raya Tumpat
Jalan Kasban yang menghubungkan Pengkalan Kubor ke Rantau Panjang ditutup untuk kenderaan ringan. Gambar Ihsan Jabatan Kerja Raya Tumpat
Mohamad Zulhairie Manzaidi

am@hmetro com.my

PENDUDUK di pinggir Sungai Golok, Tumpat diminta bersedia berpindah berikutan paras sungai di kawasan itu yang semakin naik dan beberapa kampung berdekatan sudah digenangi air.

Pengerusi Bencana Jajahan Tumpat, Rosnazli Amin berkata, antara kampung terbabit adalah Kampung Kajang Sebidang, Naga Ibu, Simpangan, Jejuluk, Bendang Pak Yong dan Kok.

"Setakat ini sudah ada pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka dan saya minta supaya penduduk bersedia dan berpindah segera apabila diarahkan.

"Kita jangka keadaan akan lebih buruk menjelang malam dan pihak kami juga sudah bersiap sedia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini tiga PPS sudah dibuka di Sekolah Kebangsaan Kebakat, Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 2 dan Sekolah Kebangan Bunohan yang menempatkan 232 mangsa daripada 75 keluarga.

"Lebih ramai mangsa yang akan dipindahkan ke PPS sehingga malam nanti, manakala Jalan Kasban yang menghubungkan Pengkalan Kubor ke Rantau Panjang ditutup untuk kenderaan ringan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 5:34 PM