AHMAD Zahid (tiga kiri) melihat model Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) daerah Bagan Datuk ketika lawatan ke tapak pameran selepas merasmikan Fiesta Strategi NBOS Sayang Malaysia. Turut sama Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (dua kiri). FOTO Abdullah Yusof
AHMAD Zahid (tiga kiri) melihat model Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) daerah Bagan Datuk ketika lawatan ke tapak pameran selepas merasmikan Fiesta Strategi NBOS Sayang Malaysia. Turut sama Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (dua kiri). FOTO Abdullah Yusof
Muhammad Apendy Issahak


PROGRAM Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dilaksanakan sejak 2009 berjaya menjimatkan perbelanjaan pembangunan kerajaan sebanyak RM2 bilion.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, NBOS adalah usaha bagi membolehkan penyampaian perkhidmatan kerajaan dilaksanakan dengan lebih baik dan efektif.

"Selama sembilan tahun NBOS dilaksanakan membabitkan 114 inisiatif yang semuanya sudah berjalan dengan lancar dan membabitkan segenap lapisan masyarakat.

"Kejayaan NBOS adalah melalui keberkesanannya yang tinggi dan pelaksanaan segera hingga kerajaan dapat mengurangkan kos operasi dan pembinaan kemudahan tidak kurang daripada RM2 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Fiesta Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Sayang Malaysia di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang, Bagan Datuk, hari ini.

Menurutnya, antara infra-rakyat NBOS yang menunjukkan kejayaan memberangsangkan adalah Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang menyediakan pelbagai perkhidmatan melepasi waktu pejabat dan hujung minggu tujuh hari seminggu.

"Lebih membanggakan, saya dimaklumkan sudah lebih 53 juta pelanggan menerima perkhidmatan di kedua-dua kemudahan itu.

"Selain itu, NBOS juga mewujudkan peluang pekerjaan yang tinggi di UTC dan RTC serta beberapa kemudahan lain," katanya.

Ahmad Zahid berkata, kejayaan NBOS ini membuktikan kerajaan tidak hanya menekankan kepada kemajuan semata-mata tetapi akan terus memastikan program-program kesejahteraan rakyat menjadi teras dalam aspirasi kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 5:32 PM