NAJIB bersama (dari kiri) Dr Salleh, Mahdzir  dan Dr Ali menyaksikan MoU yang ditandatangani Dr Mohamed Najib dan Dr Khair di Bangunan Perdana Putra, semalam
NAJIB bersama (dari kiri) Dr Salleh, Mahdzir dan Dr Ali menyaksikan MoU yang ditandatangani Dr Mohamed Najib dan Dr Khair di Bangunan Perdana Putra, semalam
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Lebih lima juta pelajar dari 10,176 sekolah di seluruh negara dijangka menyertai ‘Pertandingan Seni Negaraku’ yang akan diadakan empat bulan mulai 1 Mei hingga 31 Ogos depan.

Pertandingan yang dilaksanakan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Kementerian Pendidikan (KPM) itu bertujuan menyemai dan menyemarakkan semangat cintakan negara serta menanam sifat jati diri dan sayangkan negara dalam kalangan pelajar di negara ini.

Ia antara program di bawah inisiatif Negaraku yang dilancarkan Perdana Menteri pada 18 Mac lalu, di sini, bertunjangkan semangat cintakan Malaysia dengan Ekspresi Negaraku sebagai platform pertama memacu inisiatif berkenaan.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pertandingan itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah yang akan bermula daripada peringkat daerah, negeri serta kebangsaan.

“Sebanyak 7,772 sekolah rendah dan 2,404 sekolah menengah akan mengambil bahagian dalam pertandingan ini membabitkan pelajar prasekolah, rendah dan menengah.

“Karya pelajar yang terpilih akan dipamerkan di Balai Seni Lukis Negara selama sebulan selepas keputusan diumumkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan KPM di Bangunan Putra Perdana, di sini, semalam.

MoU disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Setiausaha (KSU) KPM Datuk Seri Alias Ahmad, KSU Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Ab Ghaffar A Tambi, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof dan Ketua Pengarah Balai Seni Negara Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmed Dawa.

Pertandingan itu adalah kerjasama pertama antara kementerian melalui inisiatif Negaraku untuk menyemai semangat cintakan negara melalui ekspresi seni visual dalam kalangan pelajar di samping memupuk penghargaan terhadap karya dan bakat seni pada usia muda.

Sementara itu, Mohamed Najib berkata, pertandingan itu akan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000 sebagai dorongan kepada pelajar untuk menyertai pertandingan.

“Hadiah wang tunai ini menyemarakkan lagi kecintaan kepada negara, bukan untuk menggalakkan pelajar mengejar wang semata-mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 6:33 AM