PELAJAR sekolah melihat hasil karya pada Pameran Seni Negaraku di Balai Seni Visual Negara, semalam.
PELAJAR sekolah melihat hasil karya pada Pameran Seni Negaraku di Balai Seni Visual Negara, semalam.
NAJIB   diiringi Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Dr Mohammed Najib Ahmad Dawa (kiri)  melawat karya dipertontonkan.
NAJIB diiringi Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Dr Mohammed Najib Ahmad Dawa (kiri) melawat karya dipertontonkan.
Idris Musa

Kuala Lumpur: Pembangunan sebuah negara tidak hanya membabitkan soal bangunan pencakar langit, lebuh raya dan kilang, tetapi yang penting ialah kualiti manusia ataupun insaniah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kualiti insaniah itu terbitnya dari mana? Dari lubuk hati, dari jiwa kita, dari roh kita.

“Kalau roh kita ini dapat kita isi, bukan saja dengan kerohanian, dengan akhlak tapi dengan semangat cintakan Negaraku. Inilah asas kecemerlangan Negaraku Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Seni Negaraku di Balai Seni Negara, semalam.

Hadir sama, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Seni Negaraku adalah satu program bawah Inisiatif Negaraku membabitkan dua pameran iaitu Seni Negaraku dan Reka Negaraku yang dibuka kepada orang ramai bermula bulan ini hingga September depan.

Pameran Seni Negaraku di Galeri Tun Razak menghimpunkan 88 karya daripada 72 pelukis manakala Reka Negaraku mempamerkan 36 artifak seni reka serta 53 cetakan mengenai barang kegunaan harian seperti kotak mancis dan label ubat.

Najib berkata, adalah penting untuk menanamkan semangat cinta dan bangga terhadap negara melalui karya seni.

“Sebagai contoh karya Latiff Mohidin, Pago-pago yang dihasilkan pada 1964 mengambil subjek alam yang bersifat lokal seperti pucuk rebung, teritip, daun dan bukit,” katanya.

Beliau berkata, pameran Seni Negaraku dan program semangat kecintaan ini turut disertai oleh penyertaan karya pelajar sekolah rendah, menengah dan sekolah seni di Malaysia.

Katanya, semangat ini diharapkan dapat dirasai dan diterapkan kepada 5.3 juta pelajar di seluruh negara dalam menghasilkan karya yang bertunjangkan semangat cintakan negara serta memupuk penghargaan dan bakat seni pada usia muda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 4:45 AM