Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sesi persekolahan bagi murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua akan bermula 1 Mac ini manakala murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam dibenarkan hadir ke sekolah pada 8 Mac ini.

Bagi pelajar sekolah menengah kategori kumpulan A iaitu di Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah pula akan bermula pada 4 April diikuti 5 April membabitkan kumpulan B bagi negeri lain.

Selain itu, kolej vokasional bagi Sijil dan Diploma Vokasional Malaysia Tahun 1 (Semester dua) juga dibenarkan beroperasi pada 1 Mac manakala sekolah antarabangsa serta pusat tuisyen bermula 8 Mac.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, tarikh pembukaan penuh sekolah itu membabitkan semua sekolah yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).


"Tarikh pembukaan semula sekolah ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

"Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk turut mengikut tarikh pembukaan penuh sekolah dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya dalam sidang media khas, hari ini.


Menurutnya, apa yang menjadi keutamaan semua pihak perlu mematuhi SOP bagi memastikan murid dan pelajar meneruskan sesi persekolahan dalam keadaan selamat.

"KPM memutuskan supaya prasekolah, Tahun Satu dan Dua kembali ke sekolah terlebih dulu bagi memberi ruang kepada guru membiasakan anak-anak ini dengan SOP baharu di sekolah.

"Pembukaan sekolah menengah selepas cuti pertengahan penggal sekolah pula berikutan memberi laluan kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memerlukan lebih ruang.

"SPM kali ini dilaksanakan sedikit berbeza dengan SOP ketat kerana bukan saja perlu menyediakan dewan, malah bilik khas seperti bilik alternatif, isolasi dan transit bagi memastikan anak-anak ini menduduki peperiksaan dalam tenang dan selamat," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 5:50 PM