MOHD Shamsul (tiga dari kiri) bersama sukarelawan menyusun barangan keperluan harian hasil sumbangan orang ramai.
MOHD Shamsul (tiga dari kiri) bersama sukarelawan menyusun barangan keperluan harian hasil sumbangan orang ramai.
MOHD Shamsul (kanan) menyumbangkan barangan keperluan harian kepada  Abdul Rahim Shabdin @ Shabudin, 78 (tengah) yang mengalami sakit tua bersama isterinya, Salmah Darus , 68 (kiri) di rumah mereka di Permatang Pasir, Permatang Pauh.
MOHD Shamsul (kanan) menyumbangkan barangan keperluan harian kepada Abdul Rahim Shabdin @ Shabudin, 78 (tengah) yang mengalami sakit tua bersama isterinya, Salmah Darus , 68 (kiri) di rumah mereka di Permatang Pasir, Permatang Pauh.
Muhammad Shalaby Shahbuddin dan Nor Azilah Azimi

Permatang Pauh: “Kami tidak menggalakkan sumbangan wang tunai, sebaliknya hanya barangan keperluan harian saja,” kata Presiden Pertubuhan Kebajikan Parong Sari Pulau Pinang (PKPSPP), Mohd Shamsul Che Sab ketika ditemui di Pusat Komersial Permatang Pauh, di sini, baru-baru ini.

Mohd Shamsul berkata, PKPSPP adalah saluran tepat bagi orang ramai yang ingin membuat amal kebajikan kerana mereka boleh menyalurkan sumbangan barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula, garam, sardin, susu, tepung gandum dan sebagainya.

Beliau berkata, sumbangan itu akan diagihkan kepada golongan miskin, ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan sesiapa saja yang memerlukan bantuan berkenaan di sekitar kawasan Seberang Perai dan Georgetown.

“PKPSPP mengalu-alukan sumbangan barangan dan tidak membabitkan wang ringgit kerana tidak mahu penyumbang mempersoalkan hala tuju sumbangan wang tunai mereka serta timbul tanggapan negatif lain.

“Ini kerana barangan lebih mudah dan berkesan untuk diagihkan kepada golongan sasaran yang memerlukannya bagi meneruskan kehidupan seharian mereka,” katanya.

Mohd Shamsul berkata, PKPSPP kini mempunyai 100 ahli aktif dan sepanjang pembabitannya dalam menguruskan kerja amal itu, dia pernah menerima panggilan telefon daripada sebuah keluarga yang meminta bekalan beras.

Beliau berkata, keluarga berkenaan didapati terpaksa menahan lapar akibat terputus bekalan dapur terutama beras, malah ada ibu bapa yang meminta bantuan kewangan untuk membayar yuran perbelanjaan sekolah anak mereka.

“Kami memikul tanggungjawab besar menyampaikan amanah orang ramai sejak PKPSPP mula beroperasi dan menjalankan aktiviti kebajikan ini secara sukarela hampir empat tahun.

“Kami melakukannya dengan ikhlas dan bukan mahukan nama. Kami berpegang kepada matlamat memperjuangkan nasib dan masalah masyarakat yang kurang bernasib baik serta menyelami kehidupan mereka selagi mampu,” katanya.

Mohd Shamsul berkata, bagi mendapatkan senarai penerima bantuan, PKPSPP menggunakan khidmat Skuad Gerak Intipan yang terdiri daripada ahli mereka sendiri untuk mencari dan mengenal pasti golongan berkenaan di sekitar Seberang Perai dan Georgetown untuk menyalurkan bantuan dan amanah orang ramai.

Beliau berkata, dalam melakukan aktiviti kebajikan itu, dia banyak mendapat sokongan moral, tenaga dan kerjasama daripada isterinya, Nor Shanisah Mohd Shahidin, 42, selain Mohd Zahidi Mohd Abu Bakar, 37, Mohamed Talib C Abdul Razack, 37, dan Zulkifli Mat, 42, apabila mereka menjadi tunjang utama dan ‘orang kuat’ PKPSPP.

Menurutnya, nama Parong Sari diambil sempena minat mendalamnya terhadap keris terutama Keris Parong Sari yang pernah digunakan Hang Tuah untuk membunuh Hang Jebat yang pada masa itu memiliki keris Taming Sari dianugerahkan Sultan Mansor Shah.

“Saya mempunyai impian yang sehingga kini belum dicapai dalam membantu masyarakat iaitu memiliki sebuah ambulans sebagai pengangkutan untuk membawa pesakit mendapatkan rawatan di hospital bagi meringankan beban mereka yang tiada pengangkutan sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 8:58 AM