Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (kiri) menyampaikan bantuan kepada sebahagian 100 mangsa banjir di Kampung Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. FOTO AMIR IRSYAD OMAR
Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (kiri) menyampaikan bantuan kepada sebahagian 100 mangsa banjir di Kampung Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. FOTO AMIR IRSYAD OMAR
Saipul Adli Mohamad


UMNO Bahagian Permatang Pauh kini dalam proses menyenaraikan jumlah rumah rosak dan perlu dibaiki selepas dilanda ribut dan banjir besar pada 4 November lalu.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, ribut yang melanda pada malam Ahad minggu lalu menyebabkan terdapat rumah rosak termasuk mengalami masalah pada bumbung, dinding dan sebagainya.

"Saya sedang senaraikan jumlah rumah perlu dibaiki dan mendapat arahan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan yang akan membantu membaiki rumah rosak disebabkan banjir dan ribut itu.

"Terdapat lebih 10 kawasan paling teruk dilanda banjir baru-baru ini termasuk Kampung Terus di Guar Jering, Kampung Belah Dua, Kampung Pertama, sekitar Permatang Rawa, Permatang Nibong, Tanjung Putus, Tanah Liat serta Sama Gagah," katanya.

Mohd Zaidi berkata, seramai 4,300 keluarga dalam parlimen berkenaan disenaraikan sebagai mangsa banjir berdasarkan senarai diberikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan sehingga semalam, lebih 4,000 keluarga sudah menerima bantuan disampaikan pihaknya.

Beliau berkata, hari ini adalah hari kelima pihaknya menjelajah ke seluruh pelusuk Permatang Pauh untuk bersemuka, sekali gus menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir dalam parlimen berkenaan.

"Kami menyampaikan pelbagai jenis barang antaranya tikar, toto, tilam, bantal serta hamper makanan harian dan diharap barangan ini boleh membantu meringankan sedikit beban mangsa banjir di Permatang Pauh.

"Bantuan diterima daripada tiga sumber iaitu Biro Kebajikan UMNO Malaysia, Kelab Putera 1Malaysia serta badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan. Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) yang mengarahkan Biro Kebajikan UMNO dan Kelab Putera 1Malaysia untuk membantu semua mangsa banjir.

"Mungkin ada yang tercicir, jadi kami minta JKKKP terbabit supaya perbetulkan keadaan ini dan insya-Allah ada penyampaian pusingan kedua dan ketiga untuk memastikan semua mangsa menerima sedikit buah tangan dari UMNO Bahagian Permatang Pauh," katanya.

Mohd Zaidi berkata, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membuat lawatan kerja ke Pulau Pinang, esok dijangka menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Permatang Rawa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 11:34 PM