ORANG ramai membeli barangan keperluan  yang dijual pada harga RM1 sempena Program Jom Kongsi Rezeki@Pasar Tani di  Taman Wira Mergong, semalam,
ORANG ramai membeli barangan keperluan yang dijual pada harga RM1 sempena Program Jom Kongsi Rezeki@Pasar Tani di Taman Wira Mergong, semalam,
Noorazura Abdul Rahman


ALOR SETAR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyasarkan lebih 10,000 asnaf di seluruh negara menerima bantuan menerusi Program Jom Kongsi Rezeki di pasar tani seluruh negara setiap minggu.

Ahli Lembaga Pengarah Fama, Adnan Saad berkata, asnaf terbabit dikenal pasti menerusi kerjasama pejabat zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri masing-masing.

Katanya, bantuan berkenaan seperti barangan makanan dikumpul daripada peniaga pasar tani serta pengunjung untuk diserahkan kepada sekurang-kurangnya 10 asnaf di satu tapak pasar tani.

“Kami ada 1,000 lokasi pasar tani seluruh negara, ini bermakna 10,000 asnaf terima bantuan setiap minggu.

“Contohnya hari ini, kami serahkan beras, gula, minyak masak, tepung dan lain-lain kepada 30 asnaf yang tinggal berdekatan pasar tani Taman Wira, Mergong.

“Kami perluaskan ke seluruh Kedah dan 1,000 pasar tani di seluruh negara selepas program ini dilancarkan pada Julai lalu di Tapak Pasar Tani Putrajaya,” katanya selepas melancarkan Program Jom Kongsi Rezeki di Pasar Tani, semalam.

Menurutnya, program itu diilhamkan daripada kesinambungan Program Food Bank Malaysia yang diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Katanya, jumlah penerima ditambah mengikut sumbangan dan pihaknya turut menggunakan khidmat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk mengenal pasti golongan sasaran di kawasan luar bandar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 6:00 AM