Muhammad Shalaby Shahbuddin

Seberang Jaya: Setiap kali menunaikan solat Jumaat di Masjid Seberang Jaya, saya sentiasa pasang niat untuk menjadi seorang imam satu hari nanti.” demikian impian ingin dicapai seorang daripada pelajar Ma’ahad Tahfiz Sirajul Quran (MTSQ), di sini, semalam.

Adam Farhan Mohd Faizal, 12, berkata, walaupun baru memulakan pembelajaran di maahad tahfiz itu pada awal Januari lalu, dia bersemangat untuk mendalami ilmu dan berusaha mencapai cita-citanya menjadi seorang imam.

Dia berkata, dia bercita-cita menjadi askar, namun semuanya berubah selepas mula mendalami ilmu agama.

“Saya dan adik, Adib Fazari, 10, dihantar ibu bapa untuk belajar menghafal al-Quran, manakala adik perempuan bongsu bersekolah agama di Bukit Mertajam.

“Kebiasaannya, kami solat Jumaat di Masjid Seberang Jaya dan saya duduk di saf tengah. Saya seolah-olah jatuh cinta dengan masjid berkenaan dan bertekad mahu menjadi imam di situ satu hari nanti,” katanya yang berasal dari Berapit, Bukit Mertajam.

Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan Ketua Biro Harian Metro Pulau Pinang Mohd Saipul Adli Mohamad bersama Pengurus Cawangan Perkhidmatan Affin Islamic Bank Berhad (Cawangan Juru), Arwani Aris dan Pengurus Cawangan Pos Laju Butterworth, Norizan Ramle yang menyampaikan sumbangan #HMKotakRezeki 2016, semalam.

Sembilan #HMKotakRezeki disumbangkan itu mengandungi barang keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula pasir, tepung, susu pekat manis dan bihun.

Adam Farhan mengakui gembira dan terkejut menerima kedatangan pihak Harian Metro yang membawa #HMKotakRezeki itu kerana tidak pernah menyangka akan menerima sumbangan yang menceriakan dia dan rakan-rakannya.

Selain itu, Saipul Adli turut menyampaikan wang tunai kepada mudir maahad berkenaan, Zul Sudin.

Zul berkata, sumbangan itu begitu bermakna buat mereka dan hanya Allah SWT yang mampu membalas segala kebaikan dilakukan pihak Harian Metro, sekali gus memberikan keceriaan buat mereka di bulan Ramadan ini.

“Kami mempunyai empat rumah di Seberang Jaya iaitu tiga daripadanya Maahad Tahfiz Lil Banin (lelaki), manakala sebuah lagi Maahad Tahfiz Lil Banat (perempuan).

“Kami mempunyai 84 pelajar iaitu 61 lelaki dan 23 perempuan seawal usia lapan hingga 18 tahun yang dibantu sembilan tenaga pengajar.

“Kos keseluruhan operasi MTSQ menelan belanja hampir RM50,000 sebulan dan bantuan seumpama itu sangat diperlukan dan berterima kasih kepada Harian Metro dan penaja yang menghulurkan sumbangan ini,” katanya.

Selain itu, 40 kotak kecil yang juga pek berbuka puasa diagihkan kepada 30 anak yatim serta tujuh tenaga pengajar di Rumah Permata Kasih, Taman Pauh Jaya di Permatang Pauh.

Program #HMKotakRezeki 2106 dilaksanakan dengan kerjasama Affin Bank dan Affin Islamic Bank selaku penaja utama, selain penaja lain termasuk Wah Chan Consolidated, Comfort, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd; Yeo’s, The Italian Baker Sdn Bhd, Tupperware Brands Sdn Bhd dan rakan kurier Pos Laju.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2016 @ 10:40 AM
MOHD Saipul Adli  (tengah) bersalaman dengan  Zul Sudin  selepas menyerahkan sumbangan #HMKotakRezeki 2016 di Seberang Jaya. Turut hadir,  Arwani  (enam dari kiri) dan  Norizan  (lima dari kiri).
MOHD Saipul Adli (tengah) bersalaman dengan Zul Sudin selepas menyerahkan sumbangan #HMKotakRezeki 2016 di Seberang Jaya. Turut hadir, Arwani (enam dari kiri) dan Norizan (lima dari kiri).