LUKISAN mural berlatar belakangkan pemandangan negara China, sempena Beautiful China In My Eyes 2016.
LUKISAN mural berlatar belakangkan pemandangan negara China, sempena Beautiful China In My Eyes 2016.
Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: “Gabungan idea 46 pelukis dalam lukisan tiga panel berukuran 4x18 meter seakan-akan menjadi simbolik kepada hubungan erat Malaysia dan China,” kata Presiden Usahawan China di Malaysia (PUCM) Datuk Keith Li.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri upacara melukis simbolik bersempena pertandingan melukis Beautiful China In My Eyes 2016 anjuran Pejabat Pelancong Kebangsaan China di Singapura (CNTO) dengan kerjasama Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC), PUCM dan Bank Industri dan Komersial China (Malaysia) Bhd, di sini, semalam.

Pelukis yang hadir di majlis bertempat di Wisma PPMC itu adalah daripada Angkatan Pelukis SeMalaysia dan Persatuan Pelukis Malaysia.

Terdahulu, Keith ketika ditemui berkata, sejak kempen pertandingan itu dilancarkan tahun lalu, sambutan hangat diberikan oleh masyarakat Malaysia.

“CNTO akan terus bekerjasama dengan PPMC, PUCM dan masyarakat bagi meningkatkan hubungan dua hala dalam pelancongan, kebudayaan, seni dan pendidikan bagi mengeratkan lagi persahabatan antara dua negara ini.

“Sejak Januari hingga Februari tahun ini, terdapat 160,000 jumlah pelancong dari Malaysia ke China iaitu peningkatan sebanyak 18.2 peratus tempoh yang sama tahun lalu.

“Manakala kemasukan pelancong China ke Malaysia sehingga suku tahun pertama juga meningkat sebanyak 512,943 orang iaitu sebanyak 35.2 peratus berbanding tahun lalu. Jumlah ini menunjukkan perkembangan positif,” katanya.

Keith berkata, dalam tempoh Januari dan April tahun ini, perdagangan dua hala itu menyaksikan peningkatan sebanyak 2.8 peratus berbanding tahun lalu, iaitu mencapai RM68.87 bilion.

Sementara itu, ahli PPMC Datuk Vincent Sim Tiak Choo ketika ditemui berkata, pihaknya teruja untuk menjayakan kerjasama itu kerana ia secara tidak langsung dapat memperkenalkan Malaysia ke China.

“Acara simbolik ini adalah hasil garapan idea pelukis kita yang mendapat inspirasi ketika berkunjung ke China baru-baru ini. Ia adalah pandangan mengenai keindahan tempat di China daripada mata orang Malaysia.

“Seni adalah cinta. Ia dapat menyatukan pelbagai bangsa dan tidak ada perbezaan warna atau fahaman politik. Sebagai contoh acara simbolik ini apabila pelukis berlainan bangsa bergabung bertukar idea dan melukis bersama di atas satu kanvas,” katanya.

Peraduan ini menampilkan dua kategori iaitu ‘Emerging Artist & Established Artist’ dengan hadiah yang ditawarkan bagi tempat pertama ialah Pakej Pelancongan ke China.

Tarikh tutup pertandingan adalah 30 Ogos ini. Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.ppmc.com.my, www.pucm.my atau www.icbcmy.com dan e-mel ke [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 9:50 AM