AMAL Clooney. FOTO fail AFP
AMAL Clooney. FOTO fail AFP
AFP

Washington: Isteri pelakon, George Clooney, Amal membantu Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menimbang bukti yang membawa kepada keputusan untuk mendapatkan waran tangkap bagi pemimpin tertinggi Israel dan Hamas, kata peguam hak asasi manusia itu pada 20 Mei.

Peguam berprofil tinggi British-Lubnan itu memuat naik kenyataan di laman web Yayasan Keadilan Clooney, yang diasaskannya bersama suaminya, George.

Beliau dan yayasan itu sebelum ini dikritik di media sosial kerana tidak bercakap mengenai jumlah kematian orang awam di Gaza.

Amal berkata, beliau diminta oleh pendakwa raya, Karim Khan untuk menyertai panel pakar bagi menilai "bukti jenayah perang yang disyaki dan jenayah terhadap kemanusiaan di Israel dan Gaza".

Kenyataan itu pada hari yang sama Karim memaklumkan beliau mendapatkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Yoavav Gallant, serta pemimpin tertinggi Hamas.

"Walaupun latar belakang peribadi kami yang pelbagai, penemuan undang-undang kami sebulat suara," kata Amal, sambil menambah terdapat alasan munasabah untuk mempercayai "bahawa Yahya Sinwar, Mohammed Deif dan Ismail Haniyeh Hamas terbabit dalam pengambilan tebusan, pembunuhan dan jenayah seksual serta keganasan."

Bagi Netanyahu dan Gallant, mereka berkata, terdapat "alasan yang munasabah untuk mempercayai" bahawa kedua-duanya terbabit dalam "kebuluran sebagai kaedah peperangan, pembunuhan, penganiayaan dan pemusnahan."

Karim mengucapkan terima kasih kepada Amal dalam kenyataannya yang mengumumkan keputusan untuk mendapatkan waran tangkap.

Amal dan ahli panel lain juga menulis satu artikel dalam Financial Times pada Isnin menyokong pendakwaan ICC untuk jenayah perang dalam konflik itu.

Ketika Hamas, Israel dan sekutu utama Amerika Syarikat (AS) bersatu mengecam tindakan itu, mereka menulis bahawa "sebulat suara bersetuju bahawa kerja pendakwa adalah ketat, adil dan berdasarkan undang-undang dan fakta".

"Saya berkhidmat dalam panel ini kerana percaya kepada kedaulatan undang-undang dan keperluan untuk melindungi nyawa orang awam.

"Undang-undang yang melindungi orang awam dalam peperangan dicipta lebih 100 tahun lalu dan terpakai di setiap negara di dunia tanpa mengira sebab konflik," kata Amal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 2:10 PM