ZII JIA turut pada sesi menguji gelanggang di Axiata Arena. -FOTO Ferzalfie Fauzi
ZII JIA turut pada sesi menguji gelanggang di Axiata Arena. -FOTO Ferzalfie Fauzi
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas berjaya meraih kejuaraan sulung tahun ini di Terbuka Thailand, perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia bersedia untuk meneruskan momentum di Masters Malaysia yang membuka tirai hari ini.

Bagaimanapun, dalam masa sama Zii Jia yang berjaya menumbangkan wakil Hong Kong, Ng Ka Long di final Ahad lalu, enggan terus dibuai kejayaan berkenaan.

"Setiap kejohanan adalah permulaan yang baharu untuk saya. Kita pun tidak pasti apa akan berlaku nanti," katanya ketika ditemui di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Ujar pemain ranking ke-10 dunia, dia mengambil pendekatan untuk 'bermula dari kosong' apabila turun beraksi di kejohanan itu esok.

"Sebab itu, seperti yang saya selalu katakan, setiap kejohanan saya perlu bermula semula," katanya akan turun gelanggang bagi aksi pusingan pertama menentang pemain ke-45 dunia, Zhao Jun Peng dari China.

Sebelum itu, Zii Jia menghabiskan masa hampir sejam menguji gelanggang bersama jurulatihnya, Wong Tat Meng dan dua rakan sepelatih, Lee Shun Yang dan Tan Choong Yen.

Difahamkan, Zii Jia hanya tiba dari Bangkok, semalam dan hanya berpeluang untuk menguji gelanggang, hari ini.

Saingan Masters Malaysia kali ini dianggap medan terbaik untuk Zii Jia sekali lagi menguji kemampuannya dalam persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024 dengan kehadiran beberapa pemain utama dunia termasuk pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark.

Selain Axelsen, rakan senegaranya yang juga pemain nombor empat dunia, Anders Antonsen turut akan beraksi serta pemain nombor enam dari China, Li Shi Feng.

Zii Jia dijangka membuat perhitungan dengan Antonsen yang juga pilihan kedua di suku akhir andai kedua-duanya melepasi dua pusingan awal.

Bekas juara Asia itu, berkata dia sudah bersedia dan bermotivasi tinggi untuk memulakan cabaran di Masters Malaysia.

"Ketika ini, saya dalam keadaan yang baik dan bersemangat untuk beraksi. Saya tidak mahu fikir terlalu banyak mengenai undian atau apa, sebaliknya fokus satu demi satu perlawanan," katanya.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Zii Jia di Masters Malaysia adalah pada edisi 2020 yang menyaksikan dia mara ke separuh akhir.

Pada edisi tahun lalu, dia tersingkir di pusingan kedua selepas tewas di tangan pemain Taiwan, Lin Chun Yi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 2:42 PM