Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang Mohd Asri Seman (tengah) menunjukkan minuman keras dan rokok seludup yang dirampas Kastam ketika sidang media hari ini.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang Mohd Asri Seman (tengah) menunjukkan minuman keras dan rokok seludup yang dirampas Kastam ketika sidang media hari ini.
BERNAMA

Bentong: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok dan minuman keras pelbagai jenama bernilai lebih RM500,000 termasuk cukai dalam dua operasi berasingan di Johor, awal bulan ini.

Pengarah Kastam Pahang Mohd Asri Seman berkata bertindak atas aduan awam, Cawangan Penguatkuasaan JKDM Bentong telah melakukan serbuan sekitar 3 pagi di sebuah kediaman di Johor Bahru pada 1 Mei lepas.

Beliau berkata dalam serbuan itu JKDM turut menahan seorang lelaki warga China berusia 44 tahun yang bekerja dalam bidang perkapalan, namun telah dilepaskan dengan jaminan.

"Ketika operasi di premis tersebut pihak kami juga menemukan minuman keras dan rokok pelbagai jenis yang dianggarkan berjumlah lebih RM177,743 termasuk cukai," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Asri berkata serbuan kedua pada hari sama pula dilakukan di sebuah rumah kedai di Masai, Johor kira-kira 5 pagi dengan pelbagai jenis minuman keras dan rokok ditemukan, dianggarkan bernilai lebih RM354,900 termasuk cukai.

"Usaha mengesan pemilik premis berkenaan sedang giat dijalankan untuk membantu siasatan dan setakat ini kami mendapati sindiket menggunakan premis kedai yang tidak berpenghuni untuk menyimpan barang tak berkastam.

"Secara keseluruhan kedua-dua kes melibatkan rampasan sebanyak 2,413 liter minuman keras dan 585,580 batang rokok pelbagai jenis," katanya dan menambah kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Mengulas lanjut, beliau berkata rokok dan minuman keras itu disyaki diseludup menggunakan laluan laut untuk dipasarkan di sekitar Johor.

Sementara itu, beliau memaklumkan bermula Januari hingga 10 Mei lepas, Cawangan Penguatkuasaan JKDM Bentong telah berjaya menyita pelbagai jenis komoditi termasuk rokok, minuman keras dan mercun dengan nilai cukai dianggarkan RM755,107.

"Jumlah ini melibatkan sebanyak 17 kertas siasatan yang telah dibuka dan enam individu ditahan bagi membantu siasatan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Asri meminta orang ramai membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan rokok, minuman keras, mercun dan kenderaan kerana penyeludupan bukan sahaja merugikan negara malah mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Orang awam boleh menyalurkan maklumat berkaitan dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 dan jabatan itu memberi jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 2:04 PM