RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor (kiri) menyampaikan sumbangan kepada peserta Program Transformasi Komuniti Pekan Lama Arau. FOTO Ihsan Istana Arau
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor (kiri) menyampaikan sumbangan kepada peserta Program Transformasi Komuniti Pekan Lama Arau. FOTO Ihsan Istana Arau
Aizat Sharif

Arau: Pemilik hotel dan inap desa serta restoran di negeri ini diingatkan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah penularan wabak Covid-19 berikutan kehadiran pelancong yang transit untuk ke Pulau Langkawi.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, selepas kebenaran melancong ke peranginan itu dibenarkan kerajaan menerusi gelembung pelancongan Langkawi, Perlis menjadi salah satu destinasi kemasukan pelancongan yang menggunakan perkhidmatan feri.

Titahnya, antara SOP yang perlu dilaksanakan adalah dengan mengawal kemasukan ke premis dengan baik iaitu hanya individu yang tidak bergejala dan berisiko rendah sahaja yang dibenarkan memasuki premis serta mengawal jumlah pelanggan dalam satu-satu masa," titah baginda dalam satu kenyataan medianya selepas berkenan berangkat menyaksikan penutupan letak kerja Program Transformasi Komuniti Pekan Lama Arau di sini, hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, sehubungan itu rakyat Perlis hendaklah bersedia untuk menerima kehadiran pelancong ke negeri ini pada waktu ini.

"Ini terutama kepada pengunjung yang dibenarkan bermalam di premis penginapan berdaftar di Perlis bagi menyesuaikan waktu perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi dari Kuala Perlis.

"Dalam pada itu, pengunjung ke Pulau Langkawi yang menggunakan perkhidmatan kereta api melalui stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Bandar Diraja Arau boleh meluangkan masa singgah di bandar ini selain menikmati tarikan warisan budaya, membeli belah dan makan minum di sekitar Kota Raja Arau," titahnya.

Sementara itu, Program Transformasi Komuniti Pekan Lama Arau ini dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Program berkenaan adalah inisiatif dalam memulihara Pekan Lama Arau yang menjadi nadi sumber ekonomi bandar berkenaan sebelum ini sejak bertahun lamanya.

Pelaksanaannya juga turut mendapat kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perlis dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) kebajikan lain yang diterajui oleh Perlis Volunteer Action Community (PVAC) bersama golongan asnaf di Kariah Kota Raja Arau atas sumbangan pihak Kumpulan Kayuhan TTG Kuala Lumpur bagi fasa 1 dan Persatuan Usahawan China Di Malaysia (PUCM) melalui Presidennya Datuk Keith Li Zhongping bagi fasa dua program berkenaan.

Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Penyelaras Program, Ahmad Maqamin Amin Abd Razak mewakili PVAC.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 2:09 PM