TUNKU Abdul Rahman Hassanal Jefri Sultan Ibrahim. -FOTO JMR
TUNKU Abdul Rahman Hassanal Jefri Sultan Ibrahim. -FOTO JMR
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pasukan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri Sultan Ibrahim, Triple Eight Johor Motorsports Racing (JMR) bersedia untuk memulakan cabaran mendebarkan, dalam penampilan sulungnya di perlumbaan legenda, Spa 24 Jam.

Bagi mempersiapkan diri untuk perlumbaan endurance itu Jun depan, Tunku Abdul Rahman akan menimba pengalaman di GT Open 500 akan datang di Spa Francorchamps, Belgium yang berlangsung dari 24 hingga 26 Mei.

Tunku Abdul Rahman yang belum pernah bertanding dalam mana-mana perlumbaan 24 jam sebelum ini, menjadikan saingan itu sebagai pemanas badan selain mengasah kemahiran serta menyesuaikan diri dengan corak perlumbaan.

"Penting buat kami untuk mendapatkan banyak masa di litar terutamanya di Spa Francoschamps kerana saya belum pernah kunjungi trek ini sebelum ini.

"Bagi saya, Spa Francorchamps adalah litar berkelajuan tinggi, jadi ia akan menjadi sangat penting untuk mengambil langkah demi langkah dan belajar tentang trek sebanyak yang saya boleh supaya apabila kami tiba di sana untuk perlumbaan 24 jam nanti.

"Berlumba di trek legenda Spa adalah seperti mimpi yang menjadi kenyataan dan saya rasa itu adalah impian semua orang untuk berlumba di situ. Tetapi saya akan fokus dan melakukan segalanya dengan betul agar saya bersedia untuk perlumbaan 24 jam nanti," tambahnya.

Menjelang perlumbaan GT Open 500, Tunku Abdul Rahman akan bergandingan dengan pelumba kedua JMR, Jordan Love dari Australia.

Kedua-dua pelumba ini bekerjasama dengan baik dalam Siri Le Mans Asia (ALMS), dan mereka berjaya meraih tempat kedua dalam kejuaraan itu.

Litar Spa Francorchamps digunakan dalam perlumbaan Formula Satu di Grand Prix (GP) Belgium dan dianggap sebagai salah satu trek paling mencabar di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 2:35 PM