REZIQ pamer aksi memukau bantu Selangor cipta kemenangan. -FOTO Selangor FC
REZIQ pamer aksi memukau bantu Selangor cipta kemenangan. -FOTO Selangor FC
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyerang muda Jordan, Reziq Mohammed Saleh Bani Hani jelas sekali menjadi sebutan para penyokong "The Red Giants" dengan kelajuan dan kelincahan aksinya ketika membantu Selangor FC menumpaskan Kedah Darul Aman FC, 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Sabtu lalu.

Pemain yang berusia 22 tahun itu membuat debut pertamanya selepas menggantikan Yohandry Orozco pada minit ke 70 dan berjaya menghadirkan beberapa cubaan merbahaya ke gawang Kedah.

Bekas pemain kelab Al-Faisaly ini membalas kepercayaan yang diberikan Ketua Jurulatih Selangor FC Mohd Nidzam Jamil, selepas gerakan darinya menjelmakan gol tunggal dalam perlawanan itu yang disudahkan oleh Aliff Haiqal Hakim Lau pada minit 84 permainan.

Reziq ketika ditemui meluahkan rasa syukur dan teruja atas sumbangan dalam penampilan pertamanya yang berjaya membantu pasukan Selangor mendapatkan tiga mata pertama dalam saingan Liga Super musim ini.

"Saya sangat gembira dengan pasukan ini, kami ibarat keluarga dan mereka menyambut saya seperti keluarga yang sudah lama disini," kata Reziq.

"Saya juga sangat teruja dengan penyokong kelab ini dan saya berharap mereka dapat datang setiap perlawanan kerana masih banyak yang saya ingin tunjukkan," katanya.

Bagi Nidzam pula, beliau sangat gembira dengan sikap dan tempo yang ditampilkan oleh Reziq kerana baginya, budaya sokongan di negara ini adalah sesuai dengan corak permainan yang ditunjukkan oleh Reziq.

"Saya suka dengan tempo yang dia bagi, di negara ini apa sahaja tempo yang anda beri jikalau anda ke hadapan dan menyerang penyokong akan sentiasa menyokong di belakang anda.

"Jadi ini sangat penting juga kepada dia (Reziq), untuk faham budaya taktikal di sini dan sekali lagi saya sangat gembira dengan prestasi ini kerana dia berjaya menukar satu perkara iaitu tempo" kata Nidzam.

Selepas ini, Selangor FC akan menanti kunjungan pasukan Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ pada Ahad nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 2:47 PM