Joey BPR
Joey BPR
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi kumpulan rock BumiPutra Rockers (BPR), Joey, meluahkan rasa syukur apabila dimaklumkan seorang individu akan menajanya mengerjakan umrah bersama isterinya, Zarinah Zainal.

Joey atau nama sebenarnya Johari Mat Rozekhi, 60, berkata, pelawaan ini amat mengejutkannya kerana dia sudah lama berhasrat untuk menjejakkan kaki di Tanah Haram itu.

"Individu ini orang Muar. Dia beritahu dia tinggal berdekatan rumah Allahyarham Mael di sana. Tapi dia sekarang ada di Qatar. Saya rasa dia memang buat travel umrah.

"Dia 'call' saya banyak kali, tapi saya tak angkat panggilan bimbang 'scammer' sebab nombor ini dari luar negara.

"Dia kemudian mesej saya beritahu nak ajak berbual. Semasa berbual, dia cakap nak taja saya dan isteri buat umrah. Saya jadi tercengang sekejap dan kemudian ucap terima kasih pada dia," katanya kepada Harian Metro.

Joey turut berkongsi kegembiraannya ini di Facebook dan ia mendapat respon positif peminat yang menganggap ia satu rezeki terpijak buatnya.

Menurutnya lagi, individu lelaki yang dipanggil Zam ini memberitahu untuk membawanya mengerjakan umrah pada Disember ini tetapi dia menolak dengan baik.

"Saya cakap Disember banyak show. Dia cakap dia cuba percepatkan dalam bulan November atau Januari tahun depan.

"Saya sekarang tak anggap apa-apa. Juga saya tak fikir berkenaan wang. Saya cuma terharu macam mana Allah gerakkan hati manusia. Apa yang orang nampak pada diri saya, itulah saya.

"Sangat menakjubkan. Cuba fikirkan kadangkala nak minta wang RM10 dengan kawan pun kadang-kadang boleh gaduh. Inikan pula buat umrah yang sekarang meningkat mendadak harganya," katanya.

Joey berkata, tajaan ini merangkumi kos tiket penerbangan, hotel dan mutawif.

"Saya memang tak pernah berjumpa Zam. Rasanya dia kawan kepada kawan saya. Sebabnya saya cakap takut kerana banyak 'scammer' sekarang. Jadi dia cadangkan Zam ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 1:49 PM