ANIS Rizana mempengerusikan Mesyuarat OBK bersama Razarudin dan Abdul Kadir. FOTO Ihsan JKDM
ANIS Rizana mempengerusikan Mesyuarat OBK bersama Razarudin dan Abdul Kadir. FOTO Ihsan JKDM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Nilai rampasan sepanjang Op Bersepadu Khazanah (OBK) bagi membendung kes jenayah hidupan liar serta pencerobohan hutan sejak tahun lalu merekodkan RM28.6 juta.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, statistik kejayaan setakat April lalu itu membabitkan kerjasama antara Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Menurutnya, mengikut pecahan, tahun lalu 75 kes direkodkan dengan nilai rampasan berjumlah RM15.6 juta, manakala dalam tempoh bulan tahun ini setakat April mencatatkan 81 kes dengan nilai mencecah RM13 juta.

"Sepanjang tempoh terbabit, 41 kes dengan rampasan bernilai RM8.17 juta direkodkan JKDM.

"Jabatan Perhilitan mencatatkan 60 kes membabitkan rampasan berjumlah RM8.76 juta, manakala PDRM dengan 55 kes (RM11.7 juta)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua kes terbabit melibatkan kesalahan mengikut Akta Kastam 1967, AktaPerdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Terancam 2008, Akta Pemuliharaan HidupanLiar 2010, Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 dan Akta Senjata 1960.

"Pelaksanaan OBK adalah bagi meningkatkan keberkesanan dalam aspek penguatkuasaan dan membanteras sebarang bentuk jenayah flora dan fauna yang meliputi pencerobohan hutan, pemburuan haram, penyeludupan hidupan liar dan pengambilan sumber biodiversiti secara haram di seluruh negara.

"Perdagangan hidupan liar kini berada di kedudukan keempat di antara jenayah-jenayah global yang lain.

"Ia menjadi jenayah yang mampu menjana keuntungan lumayan. Polis Antarabangsa (Interpol) menganggarkan aktiviti penyeludupan hidupan liar menjana pendapatan sebanyak AS$20 bilion setahun," katanya.

Beliau berkata, jadi, budaya kerja secara berpasukan harus diberi penekanan dengan menitikberatkan elemen cara kerja cross-functional dan menolak budaya kerja solo.

"Kolaborasi jitu antara jabatan dalam hal-hal berkaitan perkongsian maklumat dan kepakaranakan membuka pintu untuk jalinan kerjasama jangka panjang yang lebih berkesan danbermakna," katanya.

Beliau sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat OBK bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bersama Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Mesyuarat terbabit turut membabitkan pelbagai agensi seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Sarawak Forestry Corporation (SFC), Jabatan Hidupan Liar Sabah, Perbadanan Taman Negara Johor, Perbadanan Taman Negeri Perak, Perbadanan Taman Negeri Pahang serta pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 2:33 PM