ABDUL Halim bersama lukisan gunung berkabus di Pameran Lukisan 12 Heart and Souls di Wangsa Walk Mall, Kuala Lumpur. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
ABDUL Halim bersama lukisan gunung berkabus di Pameran Lukisan 12 Heart and Souls di Wangsa Walk Mall, Kuala Lumpur. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


DIA bukan pelukis profesional, malah tidak pernah belajar secara formal mengenai lukisan.

Namun, lukisan pemandangan gunung berkabus yang dihasilkannya sudah terjual sebanyak lapan keping sejak 2017.

Abdul Halim Budin, 60, atau lebih mesra disapa Alim Budin berkata, dia seakan-akan tidak percaya mempunyai bakat melukis semulajadi.

“Saya hanya aktif melukis pada 2017 dan sepanjang tempoh itu sehingga sekarang sebanyak 24 lukisan pelbagai tema sudah dihasilkan.

“Lukisan bertemakan siri gunung berkabus paling banyak dihasilkan dan termahal pernah terjual berharga RM1,200 pada pertengahan 2017,” katanya ketika ditemui pada Pameran Lukisan 12 Heart and Souls di Wangsa Walk Mall, Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, dia mempamerkan lapan lukisan siri gunung berkabus di pameran itu sejak 24 Februari lalu dan tiga daripadanya sudah dijual.

“Saya tak sangka sambutan diterima amat memberangsangkan, sekali gus menaikkan lagi semangat untuk terus melukis.

“Aktiviti melukis kini menjadi sumber pendapatan sampingan kepada saya selain menjadi jurulatih sukan latihan angkat beban.

“Sekarang ramai kanak-kanak dari China yang menetap di sekitar Kuala Lumpur mengikuti kelas lukisan saya selain golongan orang kenamaan dan kerabat diraja,” katanya.

Katanya, satu daripada lukisannya mendapat pengiktirafan juri profesional pada anugerah ‘Breakthrough Artist’ di Pameran Art Salon oleh Artesque 2018.

“Pengiktirafan itu menjadikan nilai lukisan semakin tinggi, sekali gus membuktikan karya lukisan dihasilkan menepati standard.

“Sehingga kini lukisan termahal dihasilkan berharga RM6,300 berikutan saiz lukisan agak besar,” katanya.

Pameran bermula 24 Februari dan berakhir pada 31 Mac itu menampilkan seramai 12 pelukis antaranya Marja, Lim Chin Han, Harlina M Ali, Kamaleshwaran Ragavan dan Nazzrin Saleh.

Sebanyak 80 lukisan pelbagai tema termasuk batik dan potret dipamerkan dan enam lukisan sudah terjual.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 2:08 AM