Tengku Adnan menyaksikan Aseh (kiri) bertukar dokumen Perjanjian Pesefahaman dengan Yang (kanan) selepas merasmikan Taman Persahabatan China-Malaysia di Putrajaya.
Tengku Adnan menyaksikan Aseh (kiri) bertukar dokumen Perjanjian Pesefahaman dengan Yang (kanan) selepas merasmikan Taman Persahabatan China-Malaysia di Putrajaya.

Putrajaya: Taman Persahabatan China-Malaysia di atas tanah seluas 0.24 hektar di tapak kekal Floria Diraja Putrajaya akan menjadi mercu tanda hubungan diplomatik yang semakin kukuh antara Malaysia dan China.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, taman berkenaan bukan saja dapat menjalinkan hubungan baik antara dua negara, malah ia juga menjadi satu daripada tempat tarikan pelancong untuk berkunjung ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini.

Katanya, taman berkenaan dibina dengan bercirikan gaya Lingnam yang sangat unik, malah seni bina pada taman berkenaan dijangka berjaya menarik ribuan pengunjung sepanjang berlangsungnya Festival Floria Diraja 2015 (Floria Diraja) sehingga 7 Jun ini.

“Dengan adanya mercu tanda ini, saya harap hubungan antara kedua-dua negara dapat diperkukuhkan.

“Malah saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan China melalui Persatuan Rakyat Dongguan yang turut menyalurkan dana bagi pembinaannya,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Taman Persahabatan China-Malaysia, semalam.

Turut hadir Duta Besar China ke Malaysia Huang Huikang, timbalannya Datuk Dr Loga Bala Mohan, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Adnan Mohd Ikhsan, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Aseh Che Mat dan Timbalan Datuk Bandar Dongguan Yang Xiao Tang.

Tengku Adnan berkata, hubungan Malaysia dan China yang terjalin sejak 40 tahun lalu tidak boleh dipertikaikan lagi dengan pelaksanaan pelbagai projek dan program membabitkan kedua-dua negara.

Sementara itu, Aseh menyifatkan taman berkenaan sebagai taman persahabatan pertama di Putrajaya dan dibina dengan kerjasama Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC) yang mengilhamkan idea pembinaannya.

“PPMC adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada 1992 bertujuan merapatkan persefahaman dan persahabatan antara Malaysia-China di peringkat rakyat.

“Pertubuhan itu banyak menjalankan program dalam bidang kebudayaan, pendidikan, belia dan sukan, pelancongan serta dalam bidang ekonomi bagi mempertingkat hubungan antara kedua-dua negara,” katanya.

April tahun lalu, majlis pecah tanah untuk pembinaan Taman Persahabatan China-Malaysia disempurnakan oleh anggota Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC), Hu Chunhua dan Aseh.

Pada majlis pecah tanah berkenaan, dua batang pokok jenis ‘Michelia Alba’ atau cempaka putih ditanam oleh kedua-dua pemimpin sebagai simbolik kepada hubungan diplomatik serta persefahaman antara Malaysia-China.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 8:34 AM