NORAIZAT (kiri) dan Aidil (kanan) beraksi di Piala Dunia Sepak Takraw di Stadium Titiwangsa. -FOTO Bernama
NORAIZAT (kiri) dan Aidil (kanan) beraksi di Piala Dunia Sepak Takraw di Stadium Titiwangsa. -FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pasukan double Malaysia dipaksa 'bermandi peluh' sebelum melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam saingan suku akhir yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Bagaimanapun ia bukan perlawanan yang mudah buat gandingan Aidil Aiman Zawawi dan Noraizat Mohd Nordin apabila terpaksa bertarung dalam tiga set sebelum mengesahkan kemenangan 15-11, 15-17, 15-8 dalam tempoh 75 minit.

Bagi Noraizat, mereka perlu mengurangkan kesilapan mudah dalam perlawanan di separuh akhir nanti jika tidak mahu hampa di hadapan penonton sendiri.

"Kesilapan kecil itu ada lagi dan ia akan membuat mata jadi rapat dan akan susah dapat mata.

"Tapi Alhamdulillah kami menang perlawanan ini dan saya rasa kedua-dua pasukan sama-sama boleh bermain," katanya.

Sementara itu, Noraizat juga yakin mampu membenam Myanmar di separuh akhir kerana sebelum ini mereka pernah bertemu di Sukan Sea Kemboja 2023 dan ia memihak kepada pasukan negara.

"Kita memang yakin boleh menang ke atas Myanmar sebab sebelum ini kita pernah jumpa mereka di Sukan Sea dan menang 2-0. Kali ini sekali lagi di separuh akhir dan situasi sama seperti sebelum ini kami harap akan menang lagi ke atas mereka," katanya.

Myanmar mara ke separuh akhir selepas mengalahkan India di suku akhir.

Sementara satu lagi separuh akhir menyaksikan Thailand yang menewaskan Jepun akan berdepan pasukan pilihan Indonesia yang turut mara selepas mencatat kemenangan ke atas Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 2:23 PM