FAISAL selamat jalani pembedahan keempat atau yang terakhir semalam. -FOTO Arkib
FAISAL selamat jalani pembedahan keempat atau yang terakhir semalam. -FOTO Arkib
Oleh Firdaus Hashim


Shah Alam: Selepas pembedahan keempat atau yang terakhir berlangsung semalam, kondisi bintang bola sepak negara, Faisal Halim akan terus dipantau dengan fokus terarah kepada pemulihan psikologi dan emosi.

Perkara itu dinyatakan ketua perubatan sukan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair yang mengakui proses pemulihan berkaitan kecederaan di anggota badan Faisal ekoran terkena simbahan asid semakin pulih dan baik.

Namun katanya, proses pemulihan berkaitan mental pemain lincah itu turut perlu diambil perhatian bagi membolehkannya kembali semula ke tahap terbaik bukan saja dari sudut fizikal malah psikologi.

Ujarnya lagi, khidmat bantuan daripada Institut Sukan Negara (ISN) akan ditagih bagi memfokuskan pemulihan peringkat seterusnya selepas ini.

"Berkaitan soal psikologi, kita rancang menjalankan beberapa ujian. Jadi itu yang kita akan meminta bantuan daripada pihak ISN yang telah dinyatakan sebelum ini.

"Dan juga kita akan buat kajian bagaimana kita boleh dapat objektif kandungan untuk lihat psikologi dan emosi Faisal.

"Sebab bagi kita selain daripada fizikal, aspek itu (psikologi) juga penting," katanya ketika ditemui di lobi hospital swasta di sini.

Semalam, Faisal atau dikenali dengan panggilan Mickey menjalani pembedahan keempat atau dipanggil 'split skin grafting' (SSG).

Ia adalah prosedur terakhir bagi merawat luka akibat lecuran tahap empat dialami oleh pemain kelahiran Pulau Pinang itu selepas disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu.

Ditanya bilakah Faisal boleh kembali beraksi di atas padang, Hazwan akui kemajuan pemulihan yang ditunjukkan pemain berjersi nombor 7 itu cukup pantas dan tidak mustahil boleh kembali beraksi dalam masa terdekat.

"Perkara ini bukan selalu berlaku dan jarang-jarang berlaku. Jadi kita tak boleh nak letak jangka masa kerana ia terlalu awal. Tapi harapan, dia akan kembali pulih secepat mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 2:28 PM