GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seorang ejen insurans didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merompak dan mencederakan seorang lelaki di Kepong, dua bulan lalu.

Tertuduh, Mohammad Hasbullah Mustafa Kamal, 33, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Hasbullah didakwa melakukan rompakan dan menyebabkan kecederaan kepada seorang lelaki berusia 27 tahun di sebuah restoran makanan Jepun di Manjalara, Kepong, di sini, 1 tengah hari, 23 Mac lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Muhairi Mohamed Noh mencadangkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh, selain syarat tambahan tidak mengganggu mangsa.

Namun, peguam bela Mohammad Hasbullah, Azlin Zulkifli memohon jaminan minimum atas alasan anak guam menanggung isteri tidak bekerja dan dua anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 25 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 1:50 PM