SYED Abu Hussin Hafiz, gambar fail. FOTO Aizuddin Saad
SYED Abu Hussin Hafiz, gambar fail. FOTO Aizuddin Saad
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Tiga Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan memberikan sebarang komen mengenai surat arahan yang dihantar oleh parti itu untuk dijawab dalam masa 14 hari berhubung keahlian mereka.

Tiga Ahli Parlimen itu ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Syed Abu Hussin yang juga Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) berkata, beliau enggan memberikan sebarang komen mengenai apa yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

"Tiada komen. Tunggu sampai 14 hari habis, nanti kita komen," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sebelum ini, Hamzah memaklumkan Bersatu menghantar surat arahan kepada semua wakil rakyat parti itu untuk menjawab berhubung keahlian mereka dalam parti itu dalam tempoh 14 hari dari tarikh ia dikeluarkan pada Jumaat lalu.

Hamzah berkata, antara kandungan surat arahan itu adalah mengenai tanggungjawab mereka di bawah Perlembagaan Bersatu untuk setia kepada parti dengan mendukung dasar, matlamat dan tujuan parti.

Dalam pada itu, Zahari turut enggan memberikan sebarang komen mengenai surat yang dihantar oleh Bersatu padanya.

"Saya tidak mahu komen. Maaf," katanya ringkas.

Suhaili pula menyatakan pihaknya telah 'dinasihatkan' agar tidak memberikan sebarang komen mulai Ahad lalu.

"Mulai kelmarin, kita dinasihatkan supaya tidak memberikan komen. Dia (Bersatu) beri kami 14 hari, tunggulah selepas 14 hari nanti," katanya.

Selain Syed Abu Hussin, Zahari dan Suhaili, tiga lagi Ahli Parlimen yang menyokong pentadbiran Anwar ialah Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari pula menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 1:47 PM