Mohd Ridwan  melakukan persediaan terakhir sebelum majlis pelepasan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, semalam.
Mohd Ridwan melakukan persediaan terakhir sebelum majlis pelepasan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, semalam.
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Semangat kental yang dimiliki seorang lelaki warga emas membuatkan dia bersemangat untuk menamatkan Jelajah Program Kayuhan Beca 1 Malaysia dengan mengayuh beca dari Melaka ke Padang Besar, Perlis, sebelum rombongan berkenaan singgah di Pulau Pinang di sini, semalam.

Siri jelajah membabitkan 50 peserta bermula sejak 24 Februari lalu hingga 6 Mac sejauh 747 kilometer itu turut disertai 19 pengayuh beca dan anggota keselamatan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Mohd Ridwan Rusdi, 74, dari Klebang Besar, Melaka berkata, biarpun kekuatan mental dan fizikalnya diuji, kesabaran dan kecekalan serta persediaan rapi membuatkan hasrat itu hampir menjadi kenyataan.

Menurutnya, mengayuh beca menjadi punca rezekinya sejak lebih 15 tahun lalu dan semangat untuk menyertai program merentasi lapan negeri termasuk Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Kedah, Pulau Pinang serta Perlis selama 13 hari begitu berkobar-kobar.

“Walaupun sudah berusia, ia bukan halangan atau alasan untuk menamatkan misi ini dan saya turut membuat senaman ringan selain berkayuh seperti biasa.

“Insya-Allah saya yakin dapat menamatkan kayuhan ini bersama rakan lain dan selamat tiba di Padang Besar dan mencatat sejarah tersendiri buat saya apabila menyempurnakan perjalanan sejauh 747 kilometer dalam usia sebegini.

“Ia akan menjadi bukti dan perangsang kepada lima anak serta 11 cucu bahawa kejayaan tidak mungkin akan tercapai tanpa usaha gigih,” katanya.

Beliau ditemui ketika Majlis Pelepasan Jelajah Program Kayuhan Beca 1 Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri yang disempurnakan Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk A Thaiveegan, di sini semalam.

Mohd Ridwan berkata, sebelum itu, dia banyak kali terbabit dengan program kayuhan beca jarak jauh termasuk ke Kuala Lumpur, Tampin dan Segamat, namun kayuhan dari Melaka ke Padang Besar, Perlis adalah yang paling jauh disertainya.

Dalam pada itu, Thaiveegan berkata, pihaknya bangga dan terharu dengan semangat pengayuh beca yang menyertai siri jelajah berkenaan, selain memupuk semangat kerjasama antara PDRM dan masyarakat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 9:30 AM