Sitdek giat mengumpul dana untuk Misi Kayuhan ke Makkah tahun depan. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Sitdek giat mengumpul dana untuk Misi Kayuhan ke Makkah tahun depan. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


PENGAYUH basikal warga emas, Sitdek Ahmad Ali, 62, nekad mencabar keupayaan diri melakukan ekspedisi berbasikal sekali lagi bagi mengumpul dana melaksanakan ‘Misi Kayuhan ke Makkah’.

Peneroka FELDA Palong 4, Jempol itu memulakan kayuhan solonya sejauh lebih 2,000 kilometer (km) mengelilingi Semenanjung Malaysia bermula Rabu lalu.

Sitdek yang lebih mesra dipanggil Tok Sitdek berkata, kayuhan solo itu kali ke-10 selepas dia mula berkayuh 18 tahun lalu.

Sebelum ini, Sitdek pernah berjalan di seluruh Semenanjung dan mengayuh beca dari Melaka ke Nanjing, China pada 2001 serta mengayuh beca di seluruh Semenanjung pada 2017.

Katanya, dalam ekspedisi kali ini, dia mahu mengumpul dana RM36,700 untuk melaksanakan misi kayuhan ke Makkah, pertengahan tahun depan.

Menurut Sitdek, kayuhan sejauh lebih 10,000 km itu akan bermula dari Putrajaya merentasi Thailand, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan seterusnya Arab Saudi.

“Itu adalah azam dan impian saya selama ini untuk berbasikal ke Makkah sekali gus mengerjakan umrah.

“Saya hampir melaksanakan impian itu pada 2006 tetapi terpaksa dibatalkan kerana ketika itu berlaku konflik dan peperangan di Timur Tengah.

“Oleh itu, saya berharap misi kali ini dapat dilaksanakan dengan sokongan semua pihak.

“Setakat ini, RM16,000 sudah dikumpulkan hasil kutipan sumbangan dan jualan buku sepanjang ekspedisi kayuhan pada siri pertama, Mei lalu,” katanya.

Sitdek berkata, sambil berkayuh, dia turut menjual buku ‘Nazam, besarnya nama-nama Allah’ berharga RM10 bagi mengumpul dana.

Katanya, dia akan meneruskan ekspedisi kayuhan itu walaupun untuk beberapa kali lagi bagi memastikan dana yang diperlukan mencukupi.

“Kedua-dua isteri saya dan semua anak merestui serta memberi sokongan penuh untuk saya melaksanakan misi ini malah ada anak saya berminat turut serta tetapi tidak berkesempatan kerana belajar.

“Saya juga tidak pernah lupa bawa Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sembilan kerana bendera itu membuatkan semangat saya semakin berkobar,” katanya yang mempunyai 16 anak dan 34 cucu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 3:57 PM