PAK Wan mencium ibunya sebelum memulakan kayuhan solo sejauh 2,200km. FOTO Syamsi Suhaimi
PAK Wan mencium ibunya sebelum memulakan kayuhan solo sejauh 2,200km. FOTO Syamsi Suhaimi
Hazira Ahmad Zaidi

PENGAYUH basikal warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood memulakan kayuhan solonya sejauh 2,200 kilometer (km) mengelilingi Semenanjung bermula hari ini.

Wan Hashim atau lebih mesra dikenali Pak Wan berusia 73 tahun itu berkata, kayuhan solo yang dilakukannya itu adalah kali kelapan selepas dia mula berkayuh sejak lima tahun lalu.

Katanya, dalam misi kayuhan solonya kali ini, dia bakal mencipta nama untuk kali kelima dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Pengayuh Basikal Tertua Mengelilingi Semenanjung Malaysia seperti yang pernah dilakukan pada 2014, 2016, 2017 dan 2018.

“Dalam misi kali ini, ianya agak mencabar kerana mengambil masa yang singkat, berbanding misi sebelum ini sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan untuk menamatkan kayuhan.

“Bagi melengkapkan misi kayuhan solo ini yang mengambil masa selama 15 hari, saya terpaksa mengayuh basikal antara 130 hingga 150 km sehari dan mungkin akan berkayuh sehingga malam,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu Majlis Pelepasan Kayuhan Solo pada jam 9 pagi tadi disempurnakan oleh Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), Azran Fitri Abdul Rahim di hadapan pejabat Utusan Malaysia, Kota Bharu, hari ini.

Ibunya, Hasmah Che Ahmad, 90, dan isteri, Faridah Daud, 68, turut hadir memberi kata-kata semangat kepada Pak Wan sebelum pelepasan dilakukan.

Bapa kepada enam anak, 20 cucu dan seorang cicit itu berkata, dia akan memulakan kayuhan menuju ke selatan Thailand dan masuk semula ke negara ini melalui Padang Besar, Perlis dan dijangka kembali semula ke Kota Bharu pada 6 Julai ini.

“Bagi merealisasikan misi kali ini, saya sudah melakukan pelbagai persiapan rapi, termasuk memastikan mental dan fizikal sentiasa kekal cergas apatah lagi cabaran yang perlu dihadapi sepanjang perjalanan untuk menamatkan misi kayuhan ini.

“Walaupun umur sudah lebih 70 tahun, ia tidak menjadi penghalang untuk saya terus berkayuh dan dalam masa berharap keluarga serta masyarakat negeri ini mendoakan misi ini berjalan lancar,” katanya.

Wan Hashim berkata, bagi ekspedisi solo kali ini, beliau turut membuat sedikit kelainan dengan menjalin kerjasama dengan KEMUDI.

Sementara itu, Azran berkata, pihak KEMUDI berterima kasih dan terharu kerana misi kayuhan yang dilakukan oleh Pak Wan pada kali ini adalah khas untuk KEMUDI.

“Dalam misi kayuhan ini juga, setiap tempat dilalui, Pak Wan akan mengedarkan risalah untuk mengajak orang ramai mendapatkan berita daripada saluran yang betul,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 1:11 PM