Kuala Lumpur: Latar belakang keluarga adalah cerminan anak sama ada mereka berjaya atau sebaliknya untuk belajar membaca al-Quran atau menghafaz 30 juzuk ayat suci kitab berkenaan.

Penyelia Guru Quran Maahad al-Quran Al-Itqaan di Taman Nirwana, Ampang, Siti Aaisyah Mohd Shafie, 23, berkata, tanpa sokongan atau latar belakang keluarga yang kurang memberangsangkan, impian untuk kanak-kanak atau individu belajar membaca selain menghafaz al-Quran mungkin terkubur.

“Berdasarkan pengalaman selepas tiga tahun bertugas di sini, saya dapati ada dalam kalangan murid atau pelajar berdepan masalah untuk belajar membaca selain menghafaz al-Quran.

“Ini kerana mereka mungkin satu-satunya anak dalam keluarga yang berusaha ke arah itu, namun gagal melakukannya di rumah kerana ahli keluarga sama ada tidak memberi galakan atau gemar bersosial,” katanya.

Siti Aaisyah bertugas di maahad yang diasaskan oleh bapanya, Dr Mohd Shafie Mohd Amin, 51.

Menurut Siti Aaisyah yang mula membaca al-Quran ketika berusia lima tahun sebelum menghafaz keseluruhan 30 juzuk dua tahun kemudian, jika berlaku maka kanak-kanak atau individu berkaitan hanya akan belajar di maahad berkenaan saja dan ia cukup merugikan.

Katanya, teknik mengajar kanak-kanak membaca serta menghafaz al-Quran juga berbeza dan ia bergantung kepada sikap kanak-kanak berkenaan.

“Naluri kanak-kanak ialah suka bermain seperti bermain dengan bekas pensel masing-masing dan kami akan meminta supaya tidak melakukannya bagi tempoh 10 hingga 15 minit untuk membaca atau menghafaz ayat tertentu,” katanya.

Menurut Siti Aaisyah, apabila ia berjaya dilakukan maka kanak-kanak berkenaan akan dibenarkan untuk bermain bagi tempoh beberapa minit serta diberi penghargaan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:19 AM