AMRI dan Aishah memberi penekanan ilmu al-Quran sepenuhnya.
AMRI dan Aishah memberi penekanan ilmu al-Quran sepenuhnya.
ABDULLAH (kanan) bersama abangnya , Abd Rahman, khusyuk membaca al-Quran.
ABDULLAH (kanan) bersama abangnya , Abd Rahman, khusyuk membaca al-Quran.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Sifat keanak-anakan dua kanak-kanak ini cukup terserlah. Si adik Muhammad Abdullah Amri, 7, menangis apabila diminta untuk bergambar lantaran dikejutkan ibunya ketika masih lena dibuai mimpi. Abangnya pula Muhammad Abd Rahman, 9, ha-nya mengangguk sekadar menurut arahan. Sekali-sekala apabila ditanya dia memberikan jawapan dalam loghat Kedahnya yang pekat.

Sambil diminta menyambung ayat al-Quran yang dibacakan ayahnya, Amri Mohd Nason, kedua-duanya lancar menyambung surah yang dibacakan. Teruja penulis mendengarnya.

Menurut Amri, proses mendidik kedua-dua anaknya menjadi hafiz bermula sejak dari dalam kandungan. Ketika itu, dia dan isteri Aishah Hashimee sedang menuntut di Syria dan mereka menggunakan masa yang ada untuk mendidik anak menerusi bacaan ayat suci al-Quran setiap hari.

“Kami suami isteri meng-gunakan waktu terluang untuk membaca al-Quran bersama-sama. Pada masa sama, menguatkan hafazan dan memperbetulkan bacaan kerana kami tahu anak dalam kandungan mampu mendengar bacaan yang dilagukan ayah dan ibu mereka. Oleh kerana Abd Rahman dilahirkan di Syria, saya dan isteri menggunakan peluang membesarkannya dengan ilmu al-Quran sepenuhnya,” katanya.

Sebaik dilahirkan pada 11 Jun 2006, setiap hari Abd Rahman diperdengarkan alunan al-Quran sama ada dibacakan terus atau menerusi cakera padat video. Malah ketika tidur, ayat al-Quran menemani Abd Rahman sepanjang malam tanpa henti. Pembelajaran secara tidak formal iaitu dengan mengajar mengenal huruf hijaiyah secara tidak langsung banyak membantu Abd Rahman untuk lebih cepat mengenal huruf. Apabila dia sudah dapat mengenal huruf, perlahan-lahan Amri memperdengarkan bacaan surah kepada anaknya.

“Saya tidak menekankan mengenai tajwid kerana pada peringkat usia sebegini ia akan lebih memberi beban kepada anak. Otak kanak-kanak mudah menyerap apa yang disampaikan. Oleh itu, mendengar alunan surah pendek setiap hari mampu memberi peluang mereka menghafaz dengan baik. Hasilnya pada usia setahun, Abd Rahman sudah boleh membacakan al-Fatihah dengan lancar,” katanya yang kini menetap di Sungai Petani, Kedah.

Mengambil jurusan Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Mujamma’ Sheikh Ahmad Kiftaro pada 2002 sehingga 2007, pasangan ini juga adalah hafiz dan hafizah yang baik. Justeru, dengan pengalaman yang diperoleh serta didikan agama sejak kecil membuatkan pasangan suami isteri ini ingin menjadikan kedua-dua anaknya sebagai hafiz yang baik.

Jelas Amri, setiap hari dia tidak memperuntukkan waktu yang panjang untuk mengajar anak-anaknya membaca sebaliknya isterinya banyak membantu disebabkan dia lebih banyak masa bersama anak. Setiap anak mempunyai naluri semula jadi seperti suka bermain, bosan sekiranya terlalu lama membaca al-Quran atau mood yang tidak baik. Sebagai ibu, Aishah tidak menggunakan teknik memaksa sebaliknya menggunakan pendekatan lebih berhemah.

“Setiap hari saya hanya memperuntukkan 30 minit untuk mengajar anak membaca al-Quran. Selepas itu saya membenarkan mereka bermain di padang, berbasikal di luar rumah atau menonton televisyen menerusi program terpilih saja. Mereka sama saja seperti kanak-kanak lain yang sukakan keseronokan. Namun kami menggunakan keseronokan ini dengan cara yang lebih bermanfaat,” kata Aishah.

Peringkat bermain adalah cara paling berkesan untuk mengajar mereka memahami al-Quran. Misalnya ketika bermain lego, Aishah memperdengarkan surah tertentu. Lama-kelamaan apabila setiap hari mendengar ayat yang sama, sedikit demi sedikit mereka dapat menghafalnya.

Melahirkan anak kedua, Muhammad Abdullah selepas pulang ke Kedah pada 2 November 2011, proses membesarkan dan mendidik Abdullah dengan ilmu al-Quran menjadi lebih lancar dengan pelbagai teknologi seperti kad imbas, cakera padat video dan buku yang mampu memberikan panduan berguna kepada ibu bapa. Untuk itu, Aishah dan suaminya turut berkongsi pengalaman menerusi blog mereka www.cintarasul.blogspot.com mengenai teknik mendidik anak dengan ilmu al-Quran.

“Selama dua tahun saya mengajar Abdullah menerusi Iqra. Walaupun adakalanya dia tidak memberikan tumpuan sepenuhnya, jangan berputus asa dan terus mengajar mereka dengan sabar. Kini pada usia tujuh tahun Abdullah sudah mampu menghafaz lima juzuk al-Quran manakala Abd Rahman sudah menjangkau 11 juzuk.

“Walaupun ramai tidak percaya teknik yang saya gunakan iaitu hanya dengan memperdengarkan bacaan al-Quran mampu membuatkan anak menghafaz al-Quran, kami dapat membuktikannya. Caranya adalah dengan memasang cakera padat di rumah atau menerusi YouTube, tetapi pastikan anak tidak menonton televisyen kerana ia akan mengganggu proses membaca al-Quran,” katanya.

Menerusi buku yang ditulis pasangan suami isteri ini berjudul 3 Langkah Mudah Menghafaz al-Quran, ada diterangkan mengenai teknik menghafaz secara mudah. Secara normalnya, manusia dianugerahkan Allah lima pancaindera untuk hidup di atas muka bumi ini. Telinga satu daripadanya dan ia adalah pancaindera terawal berfungsi berbanding yang lain.

Perdengarkan ayat suci meskipun si kecil sibuk bermain

Kajian mengatakan bayi dapat mendengar walaupun dia masih di dalam perut ibunya. Begitu juga selepas bayi lahir ke dunia, telinga lebih dulu berfungsi berbanding mata yang agak lambat dan mengambil masa untuk melihat keindahan alam ciptaan Allah.

Ibu mengandung juga digalakkan banyak mendengar dan memperdengarkan bacaan al-Quran kepada bayi yang dikandung di samping memperbanyakkan bacaan al-Quran.

“Justeru, ada teori yang menggalakkan ibu bapa memperdengarkan bayi di dalam kandungan dengan alunan muzik lembut. Ada juga menyarankan si ibu selalu berbual dan berkomunikasi dengan anak sejak awal kehamilan agar dapat mengeratkan hubungan.

“Langkah pertama ini mestilah dilakukan sekerap mungkin dan setiap hari. Ia juga perlu berterusan terutama apabila bayi itu lahir ke dunia dan dia terus diperdengarkan dengan bacaan al-Quran. Jangan ada alasan untuk mengelak memperdengarkan bacaan ayat al-Quran kepada anak kerana kini banyak inisiatif yang boleh digunakan.

“Sekiranya ibu tidak mahir dia boleh memasang radio, kaset dan komputer yang mengalunkan bacaan ayat suci, perdengarkanlah ayat al-Quran sekerap mungkin walaupun anak itu sedang bermain kerana pada hakikatnya telinganya dapat menangkap bunyi yang ada di sekelilingnya.

“Oleh sebab itu, tanpa kita sedari kadang-kadang anak boleh menghafal lagu di televisyen dan radio secara tidak formal kerana mendengar secara berulang-ulang,” katanya.

Menyedari anak yang semakin membesar dan memerlukan suasana persekitaran pembelajaran menerusi al-Quran dan akademik, Amri dan Aishah membuka Sekolah Rendah Islam Tahfiz Mutmainnah di Sungai Petani, Kedah yang menyediakan pembelajaran berteraskan al-Quran dan akademik. Dengan permulaan 70 pelajar, sekolah ini menempatkan pelajar harian dengan sistem pembelajaran bermula jam 7.30 pagi sehingga 2 petang.

“Saya rasa ramai ibu bapa yang ingin menghantar anak mereka mendalami ilmu al-Quran dan pada masa sama tidak mahu meninggalkan akademik. Ia memberi peluang kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka seawal usia tujuh tahun,” katanya.

Mendapat permintaan ramai, tidak lama selepas itu Sekolah Tahfiz Mutmainnah Sungai Petani turut dibuka yang menyediakan pembelajaran untuk remaja 13 tahun ke atas. Sistem pembelajarannya tetap sama iaitu memberi penekanan kepada akademik dan al-Quran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 12:57 PM