Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Usianya baru mencecah 12 tahun, namun kanak-kanak ini berjaya khatam al-Quran sebanyak empat kali.

Muhammad Syafique Musliadi, 12, berkata, dia mula membaca al-Quran pada usianya sembilan tahun sebelum berjaya khatam setahun selepas itu.

Katanya, dia dan kakaknya berusia 13 tahun menetap bersama nenek di Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam, di sini, sebelum neneknya itu menghantar mereka belajar mengaji al-Quran dengan kenalannya.

"Opah (nenek) yang menggalakkan saya belajar al-Quran dengan kawannya.

"Mula-mula memang susah sikit sebab ada tajwid, kena belajar betul-betul tetapi lama-lama ustazah ajar dan saya selalu ulang baca di rumah akhirnya saya boleh lancar.

"Setakat ini saya sudah khatam empat kali dan boleh menghafaz sebahagian surah dalam juzuk 30 dan insya-Allah selepas ini, saya mahu menghafaz dan memahami makna ayat dalam al-Quran," katanya ditemui pada Majlis Khatam al-Quran Perdana di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, di sini, hari ini.

Muhammad Syafique di Majlis Khatam Al-Quran Perdana Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL.
Muhammad Syafique di Majlis Khatam Al-Quran Perdana Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL.

Kanak-kanak itu antara 205 ahli kariah masjid berkenaan yang menyertai tadarus pada Ramadan sebelum diraikan pada majlis khatam al-Quran Perdana yang dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni.

Muhammad Hakim Mikael Muhammad Hafizi, 10, pula berkata, dia belajar membaca al-Quran bersama neneknya sejak usianya lapan tahun.

"Hari ini saya sangat gembira berjaya khatam al-Quran buat kali pertama selepas dua tahun belajar.

"Saya mahu terus belajar dengan Opah dan kalau boleh selepas ini, saya hendak khatam dua tahun sekali dan belajar mengenal makna ayat al-Quran pula," katanya.

Majlis Khatam Al-Quran Perdana Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar.FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL.
Majlis Khatam Al-Quran Perdana Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar.FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Datuk Mohd Salleh Yeop Abdul Rahman berkata, program bertadarus sempena Ramadan kali ini mendapat sambutan menggalakkan daripada ahli kariah masjid berkenaan.

Katanya, acara tahunan itu dimulakan pada 1 Ramadan sebelum ahli kariah berjaya menamatkan tadarus pada 23 Ramadan.

"Program ini dianjurkan setiap tahun pada Ramadan dan terbuka kepada ahli kariah yang berminat.

"Ia dianjurkan secara berkumpulan, setiap hari mereka datang membaca al-Quran di masjid ini dan ada ahli dalam kumpulan yang akan memeriksa bacaan peserta.

"Alhamdulillah, hari ini kita adakan acara kemuncak khatam beramai-ramai daripada kumpulan tadarus yang dibuat sepanjang Ramadan membabitkan warga emas, dewasa, remaja dan kanak-kanak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 3:01 PM