Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Di sebalik suara merdu, lantang dan bertenaga ketika mengalunkan bacaan al-Quran, siapa sangka remaja yang dilihat 'biasa' ini sebenarnya dilahirkan sebagai anak istimewa mild autisme.

Ahmad Iman Hakimi Ahmad Iskandar, 13, didiagnosis penyakit itu ketika berusia dua tahun dan sejak itu, dia didedahkan dengan pengajian al-Quran oleh ibu bapa, Ahmad Iskandar Ahmad Rashid, 40, dan Wan Suzana Wan Hasan, 41.

Remaja berkenaan berjaya menghafaz juzuk ke-30 dan beberapa surah lain termasuk al-Mulk, ar-Rahman dan Yasin.

Iman Hakimi juga sebelum ini mendapat perhatian di media sosial apabila videonya 'ditebuk' (diuji hafalan) bacaan Surah an-Nas oleh Johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019, Nor Farhatul Fairuzah Panut ketika beliau melawat Akademi Al-Quran Ar Rayyan, Sentul, di sini.

Nor Farhatul Fairuzah 'menebuk' dengan 'murattal' dan Iman Hakimi menyambungnya dengan 'mujawwad'.

Bacaan murattal adalah kemas hukum tajwid dan terdapat beberapa maqamat di dalamnya, manakala bacaan mujawwad pula seperti bentuk bacaan peserta dalam majlis tilawah.

Iman Hakimi berkata, dia sangat mencintai al-Quran dan mengakui mahu menjadi penghafaz kalam Allah dengan dorongan ibu bapa.

"Setiap hari saya membaca al-Quran dan sangat cintakan al-Quran. Saya juga suka mendengar orang mengaji. Hati rasa tenang dengar (bacaan ayat suci) dan membaca al-Quran," katanya ketika ditemui di akademi berkenaan, baru-baru ini.

Bapanya, Ahmad Iskandar berkata, dia bersyukur Iman Hakimi yang juga anak sulung daripada tiga beradik mempunyai minat dan rasa cinta terhadap al-Quran dan baginya, kalam Allah adalah terapi terbaik untuk anak istimewanya itu.

Menurutnya, Iman Hakimi sebelum ini menunjukkan ciri fokus kepada benda berpusing, kerap mengepak tangan dan mengalami masalah lambat pertuturan serta hanya boleh bercakap dengan baik ketika berusia enam tahun dengan ayat pertamanya adalah 'ayah'.

"Saya tak nafikan pada mulanya memang agak sukar untuk kami terima keadaan Iman Hakimi, tetapi saya dan isteri reda serta berlapang dada.

"Bagi saya, kekurangannya adalah kelebihan dan walaupun istimewa, kami tetap mahu anak mendalami agama.

"Alhamdulillah, Iman Hakimi menunjukkan minat dan dia diberi keistimewaan apabila membaca (surah) hari ini, hari ini juga dia boleh (menghafal surah)," katanya yang juga penjawat awam dan menetap di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor.

Ahmad Iskandar berkata, Iman Hakimi yang juga pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Muda dihantar ke akademi berkenaan sejak 2017 untuk mendapatkan pendidikan seimbang dunia dan akhirat.

"Anak transit di akademi pada petang dan di situ, dia diajar membaca al-Quran.

"Hafalannya bermula dari belakang (juzuk 30), menggunakan kaedah mendengar, membaca, mengenal dan mengingat untuk membaca serta hafal surah al-Quran.

"Di rumah, saya juga ada 'tebuk' hafalan surah Iman Hakimi untuk melatihnya.

"Dia banyak menghafal di kelas al-Quran serta di rumah pada waktu Subuh dan sebelum tidur," katanya sambil memberitahu Iman Hakimi pernah membetulkan bacaan surah seorang individu selain menjadi imam solat di rumah dan sekolah.

Beliau berkata, perjalanan Iman Hakimi masih panjang dan banyak juzuk belum dihafal tetapi baginya, apa diperoleh anaknya ketika ini adalah sesuatu yang membanggakannya.

"Bagi saya, berapa lama masa diambil untuk anak menghafal pun tidak mengapa kerana saya tahu kemampuannya.

"Sebagai bapa, saya gembira melihat pencapaiannya dan mempunyai impian untuk melihatnya menghafal al-Quran serta menjadi qari," katanya.

Berhubung video tular anaknya, Ahmad Iskandar berkata, ia secara tidak langsung dapat mendedahkan kepada orang ramai bahawa anak autisme juga boleh membaca dan menghafal al-Quran.

Katanya, dia turut berterima kasih dengan pujian serta komen positif termasuk ada mengatakan suara Iman Hakimi sedap didengar dan berharap video itu juga dapat memberi semangat dan sesuatu yang positif kepada orang ramai.

IMAN Hakimi menggunakan kaedah mendengar, membaca, mengenal dan mengingat untuk membaca serta hafal surah dalam al-Quran.
IMAN Hakimi menggunakan kaedah mendengar, membaca, mengenal dan mengingat untuk membaca serta hafal surah dalam al-Quran.

Lagi tenang, tak mengamuk lagi

Perkembangannya nyata berbeza dengan rakan seusia apabila didiagnosis austime, namun Muhammad Aqil Syafwan Sahril Zul berjaya membuktikan dia juga mampu membaca dan menghafal al-Quran.

Muhammad Aqil Syafwan, 12, sudah menghafaz juzuk ke-30 selain beberapa surah lain termasuk Yasin, al-Mulk dan ar-Rahman.

Ibunya, Noor Azlina Yaacob, 40, berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu mula belajar mengaji al-Quran ketika berusia enam tahun serta menyertai Akademi Al-Quran Ar Rayyan, Sentul, di sini, pada usia sama.

Menurutnya, Muhammad Aqil Syafwan didiagnosis austime ketika berusia tiga tahun selepas menyedari kanak-kanak itu berada dalam 'dunia' sendiri selain tidak memberi tindak balas apabila namanya dipanggil dan tiada kontak mata.

"Sebelum ini dia kuat mengamuk. Dia belum boleh bercakap ketika berusia tiga hingga enam tahun dan apabila masuk usia tujuh tahun, barulah dia boleh bercakap sikit-sikit," katanya.

Menurutnya, anaknya yang juga murid aliran Program Pendidikan Khas Integrasi di Sekolah Kebangsaan Polis Depot itu dihantar ke akademi berkenaan untuk mendalami al-Quran sekali gus menjadi terapi buatnya.

"Cara anak mengaji di akademi adalah menerusi kaedah menghafaz dan ustazah akan ajar serta mendengar surah menggunakan pen al-Quran dan dia akan buat pengulangan bacaan. Daripada itu, dia mula menghafaz.

"Saya bersyukur dia mempunyai kelebihan boleh mengaji dan menghafaz al-Quran.

"Terapi al-Quran juga banyak membantu apabila dia kini sudah tidak mengamuk," katanya.

Penjawat awam itu berkata, sebagai ibu, dia juga memasang impian untuk melihat anaknya mampu menjadi penghafaz al-Quran dan sentiasa menyokongnya dalam menyelesaikan hafalan dengan baik.

"Harapan saya supaya Allah SWT memudahkan perjalanannya dan selepas ini, anak akan memasuki sekolah menengah.

"Kami akan menghantarnya belajar (bagi meneruskan pengajian dan hafalan al-Quran) di sebuah tahfiz pada sebelah petang," katanya.

Al-Quran mampu beri ketenangan jiwa

Al-Quran mampu memberi ketenangan jiwa dan menjadi terapi termasuk kepada golongan istimewa.

Pensyarah Wacana Aqidah, Fiqh dan I'jaz al-Quran, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman berkata, didikan al-Quran sangat penting dan memberi kelebihan kepada anak istimewa terutama daripada aspek ketenangan jiwa dan rohani sekali gus membantu pembentukan sikap yang baik.

"Al-Quran ialah kalamullah yang mempunyai mukjizat memberi kesan besar daripada sudut kerohanian, kejiwaan, psikologi dan tumbesaran golongan berkenaan.

"Kalam Allah adalah sumber ketenangan jiwa sebagaimana Allah sebut dalam surah Ar-Ra'd ayat 28 iaitu: 'Bukankah dengan mengingati Allah itu jiwa akan tenang'.

"Kadang-kadang kanak-kanak autisme ini juga ada yang hiperaktif.

"Insya-Allah dengan al-Quran, akan dapat memberi ketenangan dalam jiwanya dan mungkin dapat mengurangkan sedikit masalah yang dihadapi," katanya.

Menurutnya, ibu bapa yang mempunyai anak autisme digalakkan memberikan mereka fokus kepada pendedahan al-Quran.

"Kalau dilihat anak autisme ada kelebihan tertentu yang Allah SWT beri kepada mereka, biarpun mereka lemah (kekurangan) dalam satu aspek, tetapi Allah beri kelebihan kepada mereka iaitu boleh fokus ketika belajar sesuatu perkara.

"Anak austime yang diajar mendalami al-Quran tidak mustahil akan hebat menghafal kalam Allah itu, malah boleh juga diajar tentang pemahaman ayat suci itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 11:00 AM