Agensi

Washington: Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan sudah menurunkan bantuan kemanusiaan pertama dari udara ke Gaza menggunakan pesawat tentera.

Menurut kenyataan CENTCOM, tentera AS dan Tentera Udara Diraja Jordan bergabung menurunkan bantuan kemanusiaan itu dari udara antara jam 3 petang dan 5 petang semalam (waktu Gaza), bagi menyampaikan keperluan penting kepada orang awam yang terjejas akibat konflik yang berterusan.

"C-130 AS menjatuhkan lebih daripada 38,000 pek sepanjang pesisir pantai Gaza, membolehkan penduduk awam menerima akses kepada bantuan kritikal.

"Kami sedang merancang untuk misi penghantaran bantuan udara susulan yang berpotensi. Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk membolehkan lebih banyak bantuan masuk ke dalam Gaza, termasuk meluaskan aliran bantuan melalui koridor dan laluan darat," kata Centcom.

Menurut beberapa laporan, penurunan bantuan itu berlaku di Rafah bersempadan dengan Mesir dan dijangka lebih banyak bantuan dari udara dalam beberapa hari lagi.

TENTERA AS dan Jordan bergabung dalam menurunkan bantuan kemanusiaan ke Gaza menerusi udara. FOTO Reuters.
TENTERA AS dan Jordan bergabung dalam menurunkan bantuan kemanusiaan ke Gaza menerusi udara. FOTO Reuters.

Kelmarin, Presiden Joe Biden mengumumkan AS akan mula menurunkan bantuan kemanusiaan ke dalam Gaza bersama-sama dengan Jordan dan negara lain.

Katanya, AS juga akan berusaha membuka laluan lain masuk ke Gaza, termasuk kemungkinan koridor marin bagi membolehkan penghantaran sejumlah besar bantuan kemanusiaan.

Selain meluaskan penghantaran melalui darat, Biden berkata, AS akan mendesak agar Israel memudahkan lebih banyak trak dan laluan masuk ke dalam semenanjung yang dikepung itu.

Penurunan bantuan udara itu tiba dua hari selepas pasukan Israel melepaskan tembakan ke atas sekumpulan penduduk Palestin yang menunggu bantuan kemanusiaan di bulatan Al Nabulsi di Jalan Al Rashid, iaitu jalan utama di sepanjang pantai barat di utara Gaza.

Insiden itu mengorbankan lebih 100 orang dan mencederakan lebih 760m penduduk.

BANTUAN diturunkan dari udara ke Gaza untuk orang awam yang terkesan dengan konflik berterusan Israel-Hamas. FOTO Reuters.
BANTUAN diturunkan dari udara ke Gaza untuk orang awam yang terkesan dengan konflik berterusan Israel-Hamas. FOTO Reuters.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 8:55 AM