TNI berjaya menurunkan 3,200 kg bantuan makanan dan ubat di Gaza, Selasa lalu. FOTO Kementerian Pertahanan Indonesia.
TNI berjaya menurunkan 3,200 kg bantuan makanan dan ubat di Gaza, Selasa lalu. FOTO Kementerian Pertahanan Indonesia.
Agensi

Jakarta: Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang menggugurkan bantuan kemanusiaan menerusi udara kepada penduduk Palestin di Gaza, Selasa lalu menyifatkan misi itu memerlukan disiplin sangat tinggi susulan berada di zon konflik.

Berkongsi pengalaman dengan CNN Indonesia, Kolonel Noto Casnoto selaku komander misi berkata, seramai 27 pegawai dan anggota pelbagai agensi terbabit dengan misi 14 hari itu.

Katanya, mereka berlepas dari Jakarta pada 29 Mac lalu menggunakan pesawat C-130J Super Hercules TNI, berjaya menggugurkan 3,200 kilogram (kg) makanan dan ubat sumbangan rakyat Indonesia.

Kejayaan misi itu juga hasil koordinasi dengan Tentera Udara Diraja Jordan dan Noto memaklumkan pasukannya sempat menyertai taklimat teknikal secara langsung pada hari kelima, sebelum hari pengguguran bantuan.

Noto berkata, misi itu memberi cabaran besar buat pasukan kerana konsep bersepadu yang membabitkan operasi bersama pasukan negara lain.

"Ini bermakna kita bergabung tenaga dengan negara lain, menggabungkan kepelbagaian dan menyeragamkan prosedur supaya corak operasi bersepadu terbentuk," katanya yang ditemui di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta pada Khamis.

Menurutnya, prosedur menurunkan bantuan sudah ditetapkan dengan setiap negara mempunyai kawasan pengguguran tersendiri di Semenanjung Gaza.

"Kita menjalankan operasi ini di bawah pemantauan kerajaan Jordan.. semua negara terlibat juga, bermula dari akses masuk, corak operasi... semuanya di bawah kawalan mereka.

"Laluannya sudah ditetapkan seperti yang dirancangkan, jadi kita akur. Sebab itu ketika operasi (Selasa) pesawat Jordan di hadapan, kita yang ketiga," jelasnya.

Terdapat 15 pesawat dari sembilan negara terbabit misi berkenaan iaitu Jordan, Mesir, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu, England, Perancis, Jerman, Belanda dan Amerika Syarikat.

Noto juga memaklumkan risiko lain dihadapi dalam misi itu termasuk gangguan isyarat GPS di kawasan penurunan bantuan, yang memaksa juruterbang menerbangkan pesawat secara konvensional.

Katanya, situasi terbabit sudah dimaklumkan awal kerana gangguan isyarat kerap berlaku di wilayah konflik aktif, justeru pasukan sudah dipersiapkan secara mental dan fizikal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 11:45 AM