NIK Marina (kanan) bersama Farae Al-Masaieed pada majlis simbolik penghantaran bantuan KHOM ke utara Gaza yang pertama secara airdrop di Zarqa berdekatan Amman, Jordan, kelmarin. FOTO Ihsan Che Saiful Chin
NIK Marina (kanan) bersama Farae Al-Masaieed pada majlis simbolik penghantaran bantuan KHOM ke utara Gaza yang pertama secara airdrop di Zarqa berdekatan Amman, Jordan, kelmarin. FOTO Ihsan Che Saiful Chin
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Sebanyak 480 kotak makanan hasil sumbangan rakyat Malaysia akan digugurkan dari udara (air drop) di utara Gaza menggunakan pesawat kargo Tentera Udara Diraja Jordan, C130, dalam tempoh seminggu.

Usaha itu dijalankan menerusi badan bukan kerajaan, Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM), hasil kerjasama Organisasi Kebajikan Hashimiyah Jordan (JHCO), Childcare Charity Association (CCCA) dan Tentera Udara Diraja Jordan.

Pengarah Misi KHOM, Nik Marina Hussin, berkata, menerusi Operasi Kecemasan Airdrop Gaza, KHOM menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pertama negara yang menghantar bantuan secara airdrop ke utara Gaza.

Inisiatif KHOM itu mendapat sokongan penuh Kedutaan Malaysia di Jordan dan dijangka tiba dalam masa seminggu ini susulan proses koordinasi yang perlu dilaksanakan oleh pihak tentera selain mengikut giliran bersesuaian jadual penghantaran.

Pengarah Misi KHOM, Nik Marina Hussin, berkata, menerusi Operasi Kecemasan Airdrop Gaza, KHOM menjadi NGO pertama negara yang menghantar bantuan secara airdrop ke utara Gaza.

"Hari ini, sepasukan tujuh sukarelawan KHOM yang diketuai saya sendiri melakukan pemantauan kerja pembungkusan di gudang yang berada di Zarqa di sempadan Amman, sebelum membuat penyerahan kepada wakil JHCO untuk disampaikan kepada Tentera Udara Diraja Jordan.

"Selain melalui airdrop, 200 kotak kit kebersihan diri termasuk kit maruah juga akan dihantar menerusi trak

"Kami dimaklumkan bantuan dijangka tiba di utara Gaza dalam masa seminggu ini, susulan proses koordinasi yang perlu dilaksanakan oleh pihak tentera selain mengikut giliran, sesuai jadual penghantaran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

NIK Marina (kiri) sedang memeriksa kotak bantuan di sebuah gudang di Zarqa berdekatan Amman, Jordan.
NIK Marina (kiri) sedang memeriksa kotak bantuan di sebuah gudang di Zarqa berdekatan Amman, Jordan.

Nik Marina berkata, KHOM memutuskan untuk melakukan penghantaran secara airdrop kerana ini adalah satu-satunya pilihan yang ada bagi membantu penduduk di utara Gaza yang sedang berdepan kebuluran.

"Ini adalah langkah kemanusiaan terbaru KHOM dalam misi membantu Palestin yang dimulakan oleh Jordan, menerusi Tentera Udara Diraja Jordan, susulan penutupan semua akses masuk oleh tentera penceroboh dalam perang yang menyebabkan sekitar 300,000 penduduknya berdepan kebuluran kerana terputus bekalan sama sekali," katanya.

Turut membantu melancarkan urusan pengagihan bantuan adalah Duta Besar Malaysia ke Jordan, Nasir Abdul Rahman dan Ketua Unit Hal Ehwal Palestin, Khairee Shahdila Aman Shah.

Turut sama, Ahli Lembaga Pengarah Tabung Hashimiyah untuk Pembangunan Badia Jordan dan Presiden CCCA, Farea Al Masaiee.

Mengakui tidak mudah, Nik Marina berkata, pihaknya berbesar hati dengan sokongan penuh Kedutaan Malaysia di Jordan terhadap inisiatif ini,

Katanya, operasi air drop itu adalah fasa ke-14 dalam kempen KHOM bagi membantu Palestin.

"Diharap, inisiatif KHOM akan membuka jalan kepada lebih banyak NGO Malaysia untuk mendapatkan akses penghantaran bantuan ke utara Gaza.

"Kami mengalu-alukan mana-mana pihak untuk bekerjasama dengan KHOM bagi menghantar bantuan ke utara Gaza yang sangat genting, saat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 6:31 PM