KENDERAAN dinaiki sukarelawan World Central Kitchen (WCK) yang terbakar akibat serangan udara Israel. FOTO Reuters
KENDERAAN dinaiki sukarelawan World Central Kitchen (WCK) yang terbakar akibat serangan udara Israel. FOTO Reuters
AFP

Brussels: Amerika Syarikat (AS) meminta Israel mengambil tanggungjawab penuh terhadap tragedi tujuh pekerja bantuan terbunuh di Gaza, dengan Setiausaha Negara AS Antony Blinken berkata Washington akan membuat tindakan susulan mengenainya dengan pegawai Israel dalam beberapa hari akan datang.

"Adalah sangat penting bahawa Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas insiden ini.

"Lebih penting lagi ialah memastikan langkah-langkah diambil ke hadapan untuk memastikan perkara seperti ini tidak boleh berulang lagi," kata Blinken selepas lawatan tiga hari ke Brussels, Belgium.

Israel pada awal Jumaat mengakui kesilapannya yang membawa kepada kejadian tujuh pekerja bantuan kemanusiaan terbunuh dalam serangan udara pada Isnin di Gaza.

Petugas yang terbunuh dalam serangan Israel itu adalah warganegara Australia, Poland, United Kingdom (UK) dan Palestin serta mereka yang mempunyai dwikewarganegaraan AS-Kanada.

Badan amal pekerja bantuan World Central Kitchen (WCK) pada Khamis sudah meminta supaya satu siasatan bebas diadakan terhadap serangan udara Israel yang menyasarkan kenderaan pertubuhan itu dan membunuh tujuh petugas bantuan kemanusiaannya itu.

Blinken berkata, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berjanji kepada Presiden AS Joe Biden untuk mengubah prosedur ketenteraan negaranya supaya pekerja bantuan di Gaza akan dilindungi pada masa hadapan.

"Kami akan melihat dengan teliti apakah langkah-langkah itu, bagaimana ia mencapai penyahkonflik yang lebih baik, penyelarasan yang lebih baik, supaya pekerja bantuan dilindungi," kata Blinken.

Beliau berkata, kerajaan AS akan 'sangat berhati-hati' mengkaji siasatan Israel sendiri terhadap pembunuhan itu dan 'kami akan membincangkan kesimpulannya dengan pegawai Israel dan organisasi kemanusiaan pada masa akan datang".

Terdahulu, Blinken berkata Washington juga mahu melihat "hasil" daripada janji Israel untuk membenarkan penghantaran bantuan sampai ke utara Gaza yang diancam kebuluran.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah memberi amaran "malapetaka kebuluran" di wilayah Palestin yang terkepung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 12:38 PM