CHEN dilarang menyertai acara dan perlumbaan yang dianjurkan jawatankuasa penganjur Xiamen Marathon selama dua tahun. FOTO Weibo
CHEN dilarang menyertai acara dan perlumbaan yang dianjurkan jawatankuasa penganjur Xiamen Marathon selama dua tahun. FOTO Weibo
Agensi

Beijing: Lelaki yang tidak berhenti merokok semasa menyertai maraton di China, baru-baru ini, digantung menyertai acara itu selama dua tahun.

Media China melaporkan, lelaki dikenali Chen, 50-an, itu didakwa merokok sepanjang acara C&D Xiamen Marathon 2024, 7 Januari lalu.

Lelaki itu menamatkan lariannya dalam tempoh tiga jam dan 33 minit.

Bagaimanapun, dia kemudian dilarang menyertai acara dan perlumbaan yang dianjurkan jawatankuasa penganjur Xiamen Marathon, selama dua tahun.

Tindakan Chen itu juga dilaporkan kepada Persatuan Olahraga Cina untuk penalti tambahan, menurut notis bertarikh 12 Januari lalu yang dikeluarkan jabatan pertandingan jawatankuasa itu.

Kenyataan Xiamen Marathon juga berkata, jawatankuasa penganjurnya mengesahkan kelakuan Chen itu berdasarkan penyeliaan perlumbaan, laporan pengadil, data cip masa, video perlumbaan, gambar dan bahan lain.

Masa dan kedudukan maraton Chen, dibatalkan.

Bagaimanapun, laman web Canadian Running menyatakan, masa lariannya adalah tiga jam 33 minit.

Ini bukan kali pertama Chen merokok semasa berlari dalam acara maraton.

Laporan media menyatakan, dia merokok semasa mengambil bahagian dalam maraton Xin'anjiang di Jiande di wilayah Zhejiang, pada November 2022.

Dia menamatkan perlumbaan itu dalam masa tiga jam 28 minit dan menduduki tempat ke-574 daripada lebih 1,500 pelari.

Prestasi dan gambarnya berlari sambil merokok dilaporkan secara meluas oleh media seperti Canadian Running, HuffPost dan Sky News.

Gambar Chen merokok juga tersebar meluas di media sosial.

Menurut penerbitan media, Sixth Tone, bandar raya China lain mula menentang merokok semasa maraton.

Hangzhou dan Guangzhou mempunyai peraturan untuk membendung tingkah laku tidak beradab, namun tidak secara khusus menyatakan ia meliputi merokok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 1:01 PM