SCKLM menyasarkan 35,000 peserta pada edisi ke-10 yang akan berlangsung di Dataran Merdeka tahun ini. Foto file
SCKLM menyasarkan 35,000 peserta pada edisi ke-10 yang akan berlangsung di Dataran Merdeka tahun ini. Foto file

KL Maraton Standard Chartered (SCKLM) 2018 yang dijadual pada 8 April, menyasarkan penyertaan sehingga 35,000 peserta.

SCKLM yang memasuki edisi ke-10 tahun ini, akan kembali berlangsung di Dataran Merdeka dan pendaftaran menyertai SCKLM 2018 dibuka mulai hari ini.

Pengarah projek SCKLM, Rainer Biemans berkata pihaknya sangat beruntung kerana dapat menarik peserta yang setia menyertai acara larian itu sejak beberapa tahun lepas, untuk bersaing dalam kesemua 10 edisi perlumbaan berkenaan.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada peserta larian ini atas sokongan mereka dan untuk meraikan ulang tahun ke-10 perlumbaan tersebut.

“Kami akan sentiasa membabitkan mereka melalui saluran media sosial untuk memberikan pelbagai hadiah dan cenderahati,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Bank Standard Chartered berbangga untuk sekali lagi menjadi penaja utama SCKLM buat tahun ke-10 perlumbaan larian tersebut.

“Ia memang amat menggembirakan untuk melihat acara larian ini menjadi kejohanan utama di Malaysia, yang sememangnya dinanti-nantikan pelari maraton,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bank Standard Chartered Malaysia Abrar A Anwar.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai SCKLM boleh layari www.kl-marathon.com. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 6:14 PM