TERTANYA-TANYA penulis sebaik sahaja mendapat jemputan AirAsia X dan Tourism & Events Queensland (TEQ) mengenai keunikan acara larian Gold Coast Marathon kerana ia begitu mendapat sambutan bukan sahaja dalam kalangan pelari elit, malah pelari kasual tempatan dan antarabangsa.
Ternyata persoalan itu terjawab sebaik penulis dan rakan media dari Asia Tenggara berpeluang berada di acara itu sambil merasai pengalaman produk pelancongan di Gold Coast, Australia yang terkenal dengan panorama pesisir pantainya.
Hal mengenai produk pelancongan itu penulis bakal kongsikan di dalam rencana akan datang memandangkan tidak cukup ruang rasanya jika ingin disatukan dua perkara berbeza dalam siaran kali ini.
Berbalik kepada acara Gold Coast Marathon, ia acara tahunan yang sudah memasuki edisi ke-43 tahun ini dan diadakan pada 1 dan 2 Julai lalu disertai pelari dari 45 negara di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Kategori ditawarkan merangkumi Gold Coast Marathon (42 kilometer (km), CPL Wheelchair Marathon, ASICS Half Marathon, Southern Cross University 10km Run, CPL Wheelchair 10km, Gold Coast Airport 5km Fun Run, Health and Wellbeing Queensland 4km Junior Dash dan Health and Wellbeing Queensland 2km Junior Dash.
Dari Malaysia sendiri, AirAsia X sebagai rakan penaja bersama acara berkenaan memberi peluang kepada tiga pelari elit kebangsaan iaitu atlet olahraga negara K Prabudass, Edan Syah dan Muhaizar Mohamad.
Menariknya di Gold Coast Marathon, peserta boleh mendapat status 'pelari ultra' iaitu membuat larian melebihi 42km apabila hari pertama pada 1 Julai mereka menyertai acara separuh marathon iaitu sejauh 21km dan pada hari kedua menyertai marathon penuh membabitkan 42km. Jadi, sebaik sahaja menamatkan kedua-dua kategori pada hari berbeza, peserta bakal mendapat tiga medal iaitu medal 21km, 42km dan 63km. Menarik bukan?
Mengenai atlet elit Malaysia yang menyertai acara larian itu, K Prabudas mengambil bahagian 21km dan berjaya memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan masa 1:06:53 saat (s).
Manakala Edan Syah menyertai dua jarak berbeza iaitu 21km dan 42km dengan catatan masa masing-masing 1 jam 20 minit dan 2 jam 52 minit. Bagi Muhaizar pula, dia menyertai marathon penuh dengan catatan masa dua jam 54 minit.
Bagi pelari elit, acara larian antarabangsa itu platform terbaik mencipta masa terbaik peribadi (bp) atau rekod kebangsaan mahu pun rekod antarabangsa menandangkan laluan larian yang agak landai.
Sebagai pelari kasual, penulis turut merasakan perkara sama kerana acara itu sesuai untuk mencatatkan pb pelari yang menyertai acara marathon. Selain itu, cuaca sejuk tidak berangin memberi keselesaan untuk berlari.
Menariknya, Gold Coast Marathon diadakan pada musim sejuk di beberapa lokasi di Australia, tetapi di Gold Coast, pada Jun dan Julai masih tidak terlalu sejuk. Cumanya pada waktu menjelang malam dan awal pagi, suasananya sejuknya boleh dirasai sehingga ke tulang.
Penulis yang menyertai kategori larian separuh marathon bersama rakan media yang dijemput AirAsia X dan TEQ memulakan acara itu pada jam 6.15 pagi dan ketika permulaan keadaan sejuk semasa sekitar 8 darjah Celcius.
Ketika bangkit pada awal pagi untuk bersiap ke tapak permulaan acara, rasa sejuk begitu terasa. Malah, kelihatan peserta lain menyarungkan jaket untuk memanaskan badan sebelum acara bermula.
Bagaimanapun sebaik sahaja melakukan aktiviti regangan otot dan memanaskan badan sebelum acara pelepasan dilakukan, badan sudah merasa kehangatan dan jaket disarung tidak menjadi satu keperluan lagi.
Kira-kira 15 minit sebelum pelepasan peserta ke garisan permulaan, penulis bersama rakan media lain mula bergerak ke lokasi berkenaan dan kelihatan peserta tidak ubah seperti lautan yang memenuhi laluan permulaan.
Menariknya, ketika mendaftar peserta boleh memilih untuk menyertai kumpulan peserta mengikut masa larian yang dirasakan boleh dilakukan.
Contohnya, bagi kategori 21km ada lima zon disediakan iaitu untuk peserta elit di bawah masa sejam sepuluh minit, Zon A membabitkan masa larian antara sejam 16 minit hingga sejam sejam 50 minit.
Setiap zon mempunyai pelari yang dikenali sebagai 'pacer' atau pelari yang 'memegang masa' yang membawa belon mengikut zon (tertera masa) masing-masing bagi memudahkan pelari mengetahui kumpulan mereka.
Ketika acara berlangsung, aura perlumbaan larian sememangnya dapat dirasakan kerana ia terdiri daripada pelbagai warganegara dan peringkat umur, termasuk mereka yang sudah bergelar warga emas yang sememangnya kepantasan larian mereka tidak boleh dinafikan!.
Ketika fokus kepada kepantasan larian masing-masing, panorama di sekitarnya tidak boleh dinafikan keindahannya. Terutama ketika matahari terbit yang membuatkan penulis dapat melupakan keletihan ketika perlumbaan.
Tidak sekadar itu, masyarakat setempat begitu 'sporting' menyokong peserta larian dan ada antara mereka memegang sepanduk memberi kata-kata semangat untuk peserta terus bermotivasi menamatkan larian serta melupakan rasa penat.
Pada hemat penulis, Gold Coast Marathon bukan sekadar acara perlumbaan larian semata-mata tetapi ia pelancongan sukan yang amat menarik untuk disertai. Apatah lagi, auranya dapat dirasakan meskipun sudah kembali ke tanah air. Mungkin jika diberi peluang pada tahun hadapan, penulis memasang harapan menyertai dua kategori bagi mendapatkan tiga medal dalam satu acara marathon itu. Mengapa tidak bukan?